SANDAKAN: 18 APRIL 2026 – Pertandingan Sugandoi Sandakan 2026 bakal mencuri perhatian peminat seni suara tempatan apabila tampil dengan pendekatan baharu berkonsepkan madani, yang memberi peluang sama rata kepada semua peserta untuk beraksi terus di pentas akhir.
Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Rhina Madais, yang menerima mandat buat kali kedua sebagai Pengerusi Sugandoi Daerah Sandakan (PSD), menyifatkan edisi kali ini sebagai langkah progresif dalam memperkasa bakat seni tempatan. Katanya pendekatan itu bukan sahaja menonjolkan keadilan dalam pertandingan, malah membuka ruang lebih luas kepada peserta untuk merasai pengalaman sebenar di pentas akhir.
“Konsep ini berasaskan keyakinan bahawa setiap peserta memiliki potensi tersendiri dan wajar diberikan peluang yang sama untuk menyerlah di pentas akhir. Ia juga memberi pengalaman istimewa khususnya dalam suasana Sugandoi Kaamatan di peringkat daerah,” jelas Rhina.
Tambahnya lagi, pendekatan itu menerima maklum balas sangat positif dari peserta. Rata-rata menyatakan keterujaan terhadap format baharu yang dianggap lebih inklusif dan memberi nilai pengalaman yang lebih bermakna berbanding edisi terdahulu.
Saranan pembaharuan berkenaan dilaksanakan hasil buah fikiran Presiden MPS, Walter Kenson yang menyifatkan peserta tidak sepatutnya dibebankan dengan pertandingan yang berperingkat, ditambah lagi dengan beban kos sewaan pakaian dan lain-lain. Katanya, “Jika ada 40 peserta yang mendaftar pada hari berkenaan, maka mereka semua akan menjadi peserta peringkat akhir. Tidak perlu sewa baju mahal-mahal, yang penting kualiti suara.”
Pertandingan yang dijadual berlangsung di The Deck Bar & Grill, IJM Batu 5 Sandakan itu bakal menghimpunkan peserta dari pelbagai latar belakang dalam dua kategori utama iaitu terbuka dan dazanak. Kedua-dua kategori ini turut mengadaptasi konsep madani yang menekankan keterangkuman dan penghargaan terhadap bakat tanpa mengira peringkat saringan.
