Wanita maut, tujuh cedera selepas 4X4 terjunam ke gaung

IMG 5701

KENINGAU: 2 Jun 2036 – Sebuah perjalanan sekeluarga bertukar tragedi apabila kenderaan pacuan empat roda (4X4) yang dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung di Jalan Bingkor, Chanang Hill, kelmarin.

Dalam kejadian sekitar jam 9.54 pagi itu, sebuah Toyota yang membawa tujuh penumpang hilang kawalan ketika menuruni jalan berbukit yang curam sebelum terbalik di dalam gaung.

Seorang wanita dewasa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Mayatnya kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Manakala tujuh mangsa lain mengalami kecederaan. Lima daripada mereka dipindahkan menggunakan kenderaan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) ke hospital, sementara dua lagi dihantar dengan ambulans KKM.

Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau yang tiba di lokasi mendapati wanita tersebut tersepit di dalam kenderaan. Anggota bomba terpaksa menggunakan peralatan khas untuk meregangkan struktur besi untuk mengeluarkan mangsa.

Difahamkan, kesemua mangsa yang terlibat merupakan ahli keluarga terdekat kepada seorang anggota bomba yang bertugas di BBP Nabawan, PBK II Michael.

Operasi menyelamat berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 11.30 pagi dan ditamatkan 21 minit kemudian selepas pasukan bomba memastikan tiada risiko lain seperti kebocoran atau tumpahan bahan api.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal