RM93.9 juta suntik pertumbuhan Koperasi Sabah, aset melepasi RM1 bilion

Gambar TPMKM

KOTA KINABALU: 18 April 2026 – Sektor koperasi di Sabah terus mengukuh dengan penyaluran pembiayaan berjumlah RM93.9 juta kepada 34 koperasi melalui Tabung Modal Pusingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (TMPSKM) sepanjang tempoh 2022 hingga 2026.

Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick, berkata peningkatan nilai pembiayaan mencerminkan peralihan strategi ke arah projek berimpak tinggi dan berskala besar. Bagi tahun 2026 sahaja, RM4.4 juta diluluskan.

Beliau memaklumkan perkara itu selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perundingan Koperasi Negeri (MPKN) Sabah yang pertama bagi tahun ini, sekaligus menandakan pelantikannya sebagai Pengerusi baharu MPKN Sabah berkuat kuasa 2 Februari lalu.

Menurutnya, dalam usaha memperluas sokongan kepada sektor ini, kementerian negeri melalui MINDET turut memulakan langkah awal untuk menambah baik skop bantuan Tabung Khas Pembangunan Keusahawanan Menteri supaya merangkumi gerakan koperasi.

Sementara itu, data prestasi sektor koperasi Sabah bagi tempoh 2021 hingga 2025 mencatatkan perkembangan memberangsangkan. Bilangan koperasi meningkat dari 1,652 ke 2,047, dengan pertambahan 196 koperasi baharu antara 2023 hingga 2024.

Keahlian meningkat dari 339,312 menjadi 388,683 anggota. Modal syer hampir berganda iaitu berjumlah RM104.34 juta, manakala kutipan yuran tahunan meningkat kepada RM184.30 juta, mencerminkan tahap daya tahan kewangan yang semakin baik.

Pencapaian paling signifikan ialah jumlah aset koperasi yang melepasi RM1 bilion pada tahun 2024 sebelum meningkat kepada RM1.172 bilion pada 2025,” ujarnya.

Jelasnya lagi, penjanaan perolehan tahunan turut melonjak hampir dua kali ganda kepada RM913.33 juta berbanding RM470.84 juta pada tahun 2021.

Tempoh 2024 hingga 2025 dikenal pasti sebagai fasa pertumbuhan pesat apabila semua indikator utama menunjukkan peningkatan serentak.

Dalam tempoh sama katanya, sebanyak 72 koperasi menerima bantuan berjumlah RM4.96 juta antara tahun 2023 hingga 2025, dengan jumlah kelulusan yang meningkat setiap tahun.

Dari segi agihan, Kota Belud muncul sebagai penerima tertinggi dengan peruntukan RM305,000, diikuti Penampang sebanyak RM48,000.

Ewon akhiri dengan berkata, secara keseluruhan, perkembangan ini menandakan sektor koperasi Sabah berada pada landasan kukuh untuk terus berkembang sebagai antara tonggak penting ekonomi negeri, didorong oleh sokongan pembiayaan yang strategik dan dasar pembangunan yang lebih inklusif.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal