KOTA KINABALU: 13 Mei 2026 – Empat pelajar jurusan Kosmetologi dari Kolej Vokasional Keningau muncul antara tiga pemenang pertandingan Pitch Me! sempena Kre8tif! East Sabah di Hotel 7 Suria, Suria Sabah, pada 7 Mei lalu.
Mereka ialah Raihanah Shauqina Roselan, Darlene Dee Denial, Esty Sylvie Toos, dan Aivrillona Alix di bawah bimbingan guru Kosmetologi, Vienny Balakrishnan.
Kumpulan ini mengetengahkan idea perusahaan solekan kesan khas (SFX) melalui perkhidmatan solekan watak filem dan mitos seperti Medusa, Pennywise, dan Werewolf.
Mereka juga melakukan demonstrasi solekan kesan khas semasa pembentangan akhir pertandingan anjuran Sabah Creative Economy and Innovation Centre.
Menurut kumpulan ini, perkhidmatan solekan kesan khas berpotensi tinggi memenuhi permintaan dalam majlis bertema, festival, pesta ria, dan pameran.
Selain itu, dua lagi penyertaan dari KV Keningau mempamerkan idea perusahaan hiasan kek bertema warisan budaya dan lukisan tangan bersaiz poket.
Sementara itu, Pengarah KV Keningau, Lumang Anak Lang, menegaskan kejayaan ini membuktikan kemahiran vokasional mampu membuka peluang keusahawanan kepada pelajar.
“Ini menunjukkan pengajian kolej vokasional sangat membantu pelajar dalam prospek kerjaya, termasuk industri kreatif yang sedang berkembang pesat di negara ini,” katanya.
