Evanz A. Petrus Wakili Malaysia ke Mister of The Globe International 2026

Gambar Evanz A Petrus Mister Globe

KOTA KINABALU: 12 Januari 2026 – Wakil Malaysia ke Mister of The Globe International 2026, Evanz A. Petrus, kini bersedia menggalas cabaran di pentas dunia. Pertandingan berprestij itu akan berlangsung di Global City Clark, Angeles City, Pampanga, Filipina, dari 16 hingga 22 Februari 2026, dengan penyertaan setakat ini melibatkan 16 buah negara.

Penyertaan Evanz ke peringkat antarabangsa merupakan kesinambungan kejayaannya dalam King and Queen of The Pacific International 2024, apabila beliau dinobatkan sebagai King of Pacific Innovation 2024. Kemenangan tersebut melayakkannya menerima ‘wildcard’ untuk mewakili Malaysia ke Mister of The Globe International, hasil kolaborasi Mister of The Globe Malaysia Organisation dan Smart HDEL Sdn. Bhd.

“Peluang ini datang tanpa diduga, tetapi saya anggap ia satu amanah besar untuk membawa nama negara,” katanya.

Berusia 30 tahun, Evanz dilahirkan di Sandakan dan membesar di Ranau, Sabah. Kini berkhidmat di Holy Family Residence, Papar, sebuah pusat jagaan warga emas di bawah Fransiscan Sister of Immaculate Conception (FSIC), beliau membawa nilai kemanusiaan sebagai teras penyertaannya dalam dunia peragaan.

“Saya mahu bawa nilai ‘Heart of Giving’ ke pentas antarabangsa. Industri ini bukan hanya tentang rupa, tetapi bagaimana kita memberi makna kepada orang lain,” katanya.

Menjelang pertandingan, persiapan Evanz kini berada pada fasa akhir. Sekitar 80 peratus keperluan termasuk wardrobe dan props telah siap dengan sokongan penaja seperti Radzniman Boutique, Datuk Jonathan Yasin (MP Ranau), Datuk Rusdin Riman (ADUN Paginatan), Smart HDEL, Ebon Del J Atelier, WM Craft dan Arnold Ritchie Brand.

“Dari segi mental dan fizikal, saya benar-benar bersedia. Sekarang fokus saya adalah konsistensi dan keyakinan di pentas,” jelasnya.

Sokongan padu turut diterima daripada Pengarah Nasional Mister of The Globe Malaysia, Dr. Erle Luke Stenly Henry, selain keluarga, rakan seperjuangan dan penaja.

Mengulas mengenai cabaran, Evanz menjangkakan persaingan yang sengit dan sukar dijangka. Katanya dengan bersemangat, “Saya akan berikan yang terbaik dan beraksi sepenuhnya,”.

Ketika ditanya penglibatan beliau dalam dunia peragaan, ia bermula hasil dorongan ahli keluarganya, “Kakak saya, Beathres Petrus adalah tulang belakang saya. Dia yang paling percaya dengan potensi saya dan tidak pernah jemu memberikan sokongan sejak peringkat tempatan hingga ke arena antarabangsa,” ujarnya.

Selain mengejar kejayaan, Evanz melihat pageantry sebagai platform pembelajaran dan pertukaran budaya. Beliau berhasrat memperkenalkan budaya dan warisan Malaysia, khususnya Sabah, kepada khalayak antarabangsa.

Sebelum ini, Evanz pernah menerima beberapa anugerah merangkumi Top 13 RTK Bandaraya Kota Kinabalu 2024, Finalis Mr. Parai Wagu 2024, Pemenang King of Pacific International (Innovation) 2024, Duta Cuti Jimat Bandung, Jakarta, serta Model Pilihan Komuniti Fotografi dan Videografi Jakarta 2025. Dengan pengalaman dan sokongan yang kukuh, Evanz kini bersedia mengharungi cabaran Mister of The Globe International 2026 dengan penuh keyakinan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal