Sindiket Cap Keselamatan Imigresen Palsu Tumpas

PUTRAJAYA: 11 November 2025 – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan satu sindiket pemalsuan cap keselamatan imigresen yang melibatkan warga tempatan dan asing menerusi pelaksanaan Ops Serkap oleh Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya pada 10 November lalu.

Menurut Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Dato’ Zakaria bin Shaaban, operasi itu dilakukan hasil risikan yang mendapati dua suspek lelaki warga Malaysia menaiki bas dari Terminal Bas Larkin, Johor Bahru menuju ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur.

Hasil tindakan pantas pasukan operasi, kedua-dua suspek berjaya dikesan dan ditahan di sebuah premis kediaman di Seri Kembangan, Selangor yang dipercayai menjadi tempat persembunyian sindiket tersebut.

Serbuan awal pagi itu membawa kepada penemuan lapan naskhah pasport warga Vietnam serta dua cap keselamatan yang disyaki palsu. Siasatan mendapati sindiket berkenaan aktif sejak dua tahun lalu dan menyasarkan warga Vietnam, Indonesia serta Thailand yang tinggal lama di Malaysia.

Mereka dipercayai menawarkan khidmat pemalsuan cap imigresen bagi tujuan mendapatkan pengesahan palsu dengan bayaran antara RM2,500 hingga RM3,000 bagi setiap dokumen.

Sebanyak tujuh individu ditahan dalam operasi tersebut, terdiri daripada tiga lelaki dan satu wanita warga tempatan serta tiga wanita warga Vietnam berusia antara 20 hingga 35 tahun.

Semua mereka kini ditahan untuk siasatan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966.

Zakaria menegaskan, JIM akan terus mempertingkatkan aktiviti penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan pemalsuan dokumen perjalanan dan memastikan tiada pihak melindungi atau menggaji warga asing tanpa dokumen sah.

Beliau turut menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang terlibat bagi memastikan kestabilan dan kemakmuran negara terus terpelihara selaras dengan hasrat Kerajaan MADANI.

Sumber: Kenyataan Media Jabatan Imigresen Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal