Piala Dunia 2026 boleh ditonton percuma menerusi RTM dan MyTV

Red Dark Gradient Sport Boxing Facebook Post

KUALA LUMPUR: 7 Mei 2026 – Kejohanan Piala Dunia FIFA 2026 boleh ditonton secara percuma menerusi RTM dan MyTV selepas kerajaan melantik RTM dan Unifi TV sebagai penyiar rasmi kejohanan itu di Malaysia.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, langkah itu bertujuan memastikan rakyat dapat menonton kejohanan berkenaan melalui saluran sah tanpa bergantung kepada siaran cetak rompak.

Menurut hantaran di Facebook rasmi beliau pada Rabu, kesemua 104 perlawanan akan disiarkan secara langsung menerusi Unifi TV. RTM pula menyiarkan majoriti perlawanan secara langsung dan siaran tertunda.

“Program Grandstand akan diterbitkan dari Angkasapuri dalam Bahasa Melayu dengan sebahagian kandungan dalam Bahasa Inggeris,” katanya.

Jelasnya, liputan kejohanan turut boleh diikuti menerusi RTM Klik dan platform MyTV. Kemas kini semasa juga disediakan melalui program Selamat Pagi Malaysia.

Kerajaan memperuntukkan RM24 juta untuk penyiaran Piala Dunia FIFA 2026. Beberapa penaja utama kini sedang dimuktamadkan.

“Penguatkuasaan anti-cetak rompak akan diperkukuh sepanjang kejohanan berlangsung. Tindakan tegas akan diambil terhadap sebarang pelanggaran,” katanya.

Amerika Syarikat bertindak sebagai tuan rumah bersama Mexico dan Kanada. Aksi pembukaan dijadualkan berlangsung di Mexico City pada 11 Jun 2026, manakala perlawanan akhir di New Jersey pada 19 Julai 2026.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal