Ketua Menteri dijadual rasmikan NeuroHope, program kesedaran neurodiversiti terbesar di Keningau

Neurohope

oleh David E.

KENINGAU: 16 Julai 2026 – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, dijadual untuk merasmikan Program NeuroHope di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Bingkor pada 18 Julai ini.

Program anjuran bersama Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor dan Unit Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) SK Bingkor itu dijangka menjadi program kesedaran neurodiversiti terbesar di daerah Keningau. Ia juga merupakan program pertama seumpamanya di Sabah.

Yazid4

Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor, Hj Yazid Hj Mohd Hasnan Tawik @ Charles

Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor, Hj Yazid Hj Mohd Hasnan Tawik @ Charles, berkata program itu bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai neurodiversiti, justeru mengukuhkan sokongan komuniti terhadap individu neurodivergen dan keluarga mereka.

“Program ini terbuka kepada orang ramai, khususnya ibu bapa, guru, pelajar dan masyarakat setempat yang ingin mendapatkan pendedahan berkaitan isu pendidikan khas dan kesejahteraan mental,” ujarnya.

Antara aktiviti yang disediakan ialah Jualan Rahmah, pemeriksaan kesihatan, saringan mata, serta pameran daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Hospital Keningau.

Pengunjung juga berpeluang menyertai cabutan tiket bertuah, menyaksikan persembahan kebudayaan dan persembahan artis tempatan, Rosaria Bianus.

Sesi perkongsian ilmu turut diadakan, antaranya ceramah bertajuk “Embracing Neurodivergence” dan “Kesihatan Mental Ibu Bapa” yang akan disampaikan oleh Pakar Psikiatri Hospital Keningau, Dr Isabella Rosselline.

Unit Terapi Carakerja hospital yang sama akan mengendalikan sesi terapi, manakala Dr Velerie berkongsi pendekatan pengajaran berkesan untuk membantu murid berkeperluan khas mencapai potensi optimum.

Yazid berkata, kehadiran Hajiji itu mengiktiraf usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pendidikan khas, neurodiversiti dan kesihatan mental. Ia juga mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam menyokong inisiatif untuk golongan berkeperluan khas dan keluarga mereka.

Penganjur berharap NeuroHope dapat menjadi platform berterusan untuk mengukuhkan kerjasama antara agensi kerajaan, institusi pendidikan dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam menyokong kesejahteraan dan potensi individu neurodivergen di Sabah.

Orang ramai dijemput hadir ke Dewan SK Bingkor pada 18 Julai untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai program tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal