Pemenang Ratu Kokotuan kacukan Ireland–Sabahan curi Perhatian, fasih berbahasa ibunda

Red Dark Gradient Sport Boxing Facebook Post 30

KOTA BELUD: 6 Mei 2026 – Kecantikan dan pesona bukan satu-satunya perkara yang mencuri perhatian dalam pertandingan Ratu Kokotuan sempena Tadau Kokotuan di Kadamaian Square pada 2 dan 3 Mei 2026. Kefasihan seorang peserta kacukan Ireland dan Sabahan dalam berbahasa Dusun menjadi perbualan hangat orang ramai.

Pemenang, Rossa, bukan sahaja menawan di pentas, malah keupayaannya bertutur lancar dalam bahasa ibunda itu menyentuh hati ramai, terutama dalam kalangan generasi muda.

WhatsApp Image 2026 05 06 at 20.18.20

“Saya amat bersyukur dan gembira sebab menang lagi. Semua usaha kami tidak sia-sia,” katanya.

Lebih daripada kemenangan, Rossa melihat dirinya sebagai simbol bahawa identiti budaya tidak terhakis walaupun dirinya berdarah kacukan.

“Saya ingin dilihat sebagai role model walaupun berdarah campuran dalam memahami budaya KDMR, terutama penggunaan bahasa ibunda. Hari ini, kita melihat terlalu sedikit generasi muda yang boleh menguasai bahasa KDMR,” katanya.

Dalam suasana perdebatan mengenai penyertaan peserta kacukan dalam pertandingan budaya, Rossa tampil dengan pendirian yang jelas bahawa kepelbagaian adalah kekuatan Sabah.

“Inilah keunikan Sabah, ada macam-macam rasa dan gelagat. Ini juga salah satu cara untuk memeriahkan Pesta Kaamatan.

“Berilah peluang kepada peserta ‘mix’ untuk bertanding kerana mereka juga mempunyai darah KDMR. Apa bezanya peserta kacukan yang mengamalkan budaya KDMR dan pandai bertutur bahasa ibunda? Kita-kita juga baini,” katanya.

Menurut Rossa, bahasa Dusun bukan sesuatu yang dipelajari kemudian, tetapi sudah menjadi sebahagian dalam dirinya sejak kecil lagi.

“Sejak saya sedar wujud di dunia, saya sudah faham dan bercakap dalam bahasa Dusun. Inilah pertuturan utama kami di rumah selain bahasa Inggeris,” katanya.

WhatsApp Image 2026 05 06 at 20.20.22

Beliau turut menyeru masyarakat agar lebih terbuka menerima perbezaan.

“Kita sudah berada di zaman AI. Marilah kita bersikap terbuka dan saling menyokong antara satu sama lain, selain saling menghormati dan bertoleransi,” katanya.

Di sebalik kejayaan itu, ibunya, Gandi Molly, menjadi tulang belakang dalam memastikan anak-anak tidak terpisah dari akar budaya mereka.

image 11

“Saya membesarkan mereka seperti ibu bapa lain, sentiasa memberi nasihat dan teguran, jangan mudah terpengaruh, dan sentiasa pandai memilih kawan,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan pembentukan sahsiah sejak kecil melalui aktiviti dan didikan rohani.

“Saya menggalakkan mereka aktif dalam aktiviti dan pelayanan gereja dari kecil lagi. Apabila meningkat remaja, di situlah pentingnya asas yang kita bina,” katanya.

Selain itu, katanya, anak-anak turut didedahkan dengan pelbagai kemahiran mengikut minat.

“Saya hantar mereka ke kelas muzik dan bola sejak kecil. Kita tambah kemahiran mengikut minat dan bakat anak-anak,” katanya.

Namun bagi Gandi, perkara paling penting adalah memastikan bahasa dan identiti tidak hilang.

image 12

“Dari kecil, kami sudah bercakap Dusun dan Inggeris sahaja. Ketika Rossa berusia empat tahun, barulah dia belajar Bahasa Melayu.

“Saya pastikan mereka tahu adat, bahasa, dan asal-usul mereka. Saya bangga mereka boleh bertutur bahasa ibunda sejak kecil walaupun berdarah kacukan,” katanya.

Mengulas isu peserta kacukan, beliau menegaskan mereka juga berhak diberi peluang.

WhatsApp Image 2026 05 06 at 20.21.11

“Tidak salah jika peserta kacukan ikut pertandingan kerana mereka juga mempunyai darah KDMR. Kita sebagai ibu bapa perlu mendorong anak-anak belajar budaya KDMR.

“Jangan kita menidakkan hak orang lain. Di sinilah peranan kita mengajar anak-anak tentang identiti mereka,” katanya.

Kisah Rossa menjadi bukti bahawa dalam dunia yang semakin moden, identiti dan bahasa ibunda masih mampu dipertahankan — bukan hanya oleh mereka yang ‘sepenuhnya’ berasal dari Sabah, tetapi juga oleh mereka yang memilih untuk menghargainya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal