KOTA KINABALU: Peminat muzik di Sabah bakal menikmati konsert terbuka di tepi pantai menerusi Noktah Rindu di Aru By The Sea pada 12 Disember ini.
Konsert itu menghimpunkan artis popular Malaysia dan Indonesia, sekali gus menjadi platform merapatkan hubungan budaya dan menyatukan peminat muzik serumpun.

Konsul Jeneral Indonesia di Kota Kinabalu, Noorman Effendi, menyambut baik usaha menghimpunkan penggiat seni kedua-dua negara dalam suasana santai di tepi pantai.
Menurut beliau, muzik tidak mengenal sempadan dan bahasa yang dikongsi bersama menjadikan karya seni lebih mudah dihayati masyarakat tempatan.

“Muzik itu beyond borders. Sesiapa pun boleh menikmati muzik dari pelbagai genre tanpa mengira negara asal penyanyi.
“Kalau kita boleh menjemput artis Barat, tidak salahnya kita menjemput artis serumpun yang mempunyai bahasa yang sama kerana lebih mudah difahami dan dihayati,” katanya selepas menerima kunjungan hormat wakil penganjur konsert di pejabat Konsulat Jeneral Republik Indonesia di Kota Kinabalu.
Beliau turut menyokong cadangan penganjuran festival muzik serumpun pada masa hadapan memandangkan kerjasama antara komposer dan penyanyi kedua-dua negara sudah lama terjalin.
Wakil penganjur, Joebeth Wahid, berkata Noktah Rindu ialah projek sulung Live Concert KK dengan kerjasama Aru By The Sea yang menyasarkan kehadiran antara 2,000 hingga 3,000 penonton.
Katanya, konsert yang bermula pada jam 8 malam itu menampilkan penyanyi popular Indonesia, Mario G. Klau dan Fajar Noor, di samping artis Malaysia, Bella Astillah dan Didi Syazri.

“Pemilihan barisan artis ini dibuat untuk menarik minat pelbagai lapisan generasi peminat muzik di Sabah.
“Mario G. Klau yang popular menerusi lagu Semata Karnamu sangat dekat dengan pendengar generasi milenial dan Gen X, manakala Fajar Noor mempunyai tarikan kuat dalam kalangan Gen Z menerusi kelunakan suara husky beliau,” katanya.
Joebeth berkata konsep ruang terbuka di tepi pantai dipilih untuk memberi kelainan berbanding konsert tertutup di dalam dewan.
Mengulas aspek logistik, beliau memaklumkan lokasi acara menyediakan kapasiti parkir sehingga 900 kenderaan, di samping penyediaan kanopi dan baju hujan sebagai persediaan menghadapi cuaca tidak menentu.

Tiket ditawarkan dalam tiga kategori iaitu General Admission pada harga RM89, Standing Rock Zone (RM159) dan Aru VIP Club (RM1,999). Ia boleh didapati menerusi laman web rasmi liveconcertkk.com atau secara fizikal di Aru By The Sea.
