Dengar suara Sabah sebelum gubal undang-undang laut dan perkapalan – Ewon

950b40e0 f0ec 4992 8aa8 5a6bc0482dd0 21B2858D BB51 479E B5EA 909D8AAC5BFC

KUALA LUMPUR: Perairan, jeti dan laluan perkapalan bukan sekadar sempadan di atas peta. Ia nadi kehidupan harian dan punca rezeki ribuan rakyat Sabah.

Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick, menegaskan Kementerian Pengangkutan wajib mendapatkan persetujuan Kerajaan Sabah terlebih dahulu sebelum membentangkan sebarang undang-undang baharu atau pindaan berkaitan maritim di Dewan Rakyat.

“Dalam membuat undang-undang baharu, pindaan atau pemurnian undang-undang berkaitan maritim dan perkapalan, kementerian harus mengambil kira keperluan mendapatkan persetujuan Kerajaan Sabah sebelum undang-undang tersebut dibawa ke Dewan ini, sepertimana dalam Perkara 161E Perlembagaan Persekutuan.

“Saya berharap inilah semangat yang kita ingin jayakan dalam sama-sama membina negara ini berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pengangkutan di Dewan Rakyat, hari ini.

Ewon turut menuntut penjelasan terperinci mengenai lokasi jeti yang akan dibaiki dan dibina menerusi peruntukan RM10 juta di bawah Butiran 07900, di samping lokasi projek Sambungan Rel ke Pelabuhan bernilai RM18.108 juta.

Beliau juga mempersoalkan dasar dan kesediaan kementerian menyalurkan peruntukan sama jika terdapat cadangan membina laluan rel kereta api terus ke Pelabuhan Sepanggar di Sabah.

Mengenai projek Trans-Borneo Railway, Ewon mengalu-alukan kajian kebolehlaksanaan yang telah siap dijalankan. Beliau berharap hasilnya dibentangkan segera kepada Kabinet Kerajaan Sabah supaya dapat dimasukkan dalam Kajian Separuh Penggal RMK-13.

Dalam sektor penerbangan, beliau menyambut baik peruntukan RM442.3 juta bagi pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dan RM120.9 juta untuk menaik taraf Lapangan Terbang Tawau. Namun, beliau mengingatkan agar ia disusuli peningkatan kemudahan kaunter pelepasan dan fasiliti kargo di KKIA.

Ewon turut mencadangkan kajian terperinci dijalankan bersama Kerajaan Sabah berhubung keperluan membina lapangan terbang baharu, termasuk di Lahad Datu, bagi memacu cadangan zon ekonomi khas.

Menyentuh aspek penguatkuasaan darat, beliau menggesa penambahan anggota bahagian penguatkuasaan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah dan pembangunan pusat kawalan bersepadu membabitkan pihak berkuasa tempatan.

Beliau turut mencadangkan penyeragaman undang-undang kenderaan perdagangan supaya kompaun dikenakan terus kepada syarikat pengangkutan terbabit dan bukan ke atas setiap unit kenderaan secara berasingan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


TV Sabah | News Portal