KOTA KINABALU:26 Julai 2026 – Sebanyak 166 rumah setinggan haram di kawasan bersebelahan Kampung Bandulan dirobohkan dalam operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) pada 16 hingga 17 Julai lalu.
Operasi itu dilaksanakan untuk menangani pencerobohan tanah kerajaan dan pembinaan struktur haram di sekitar bandar raya.
Menurut DBKK, bancian yang dijalankan Bahagian Perobohan dan Struktur Haram, Jabatan Penguatkuasaan pada 11 dan 12 Jun lalu mengenal pasti sebanyak 166 rumah dibina secara haram di kawasan berkenaan.
Kesemua struktur terbabit diberikan Notis Pengosongan, Pengalihan dan Perobohan sebelum tindakan penguatkuasaan dilaksanakan.
Operasi bersepadu itu melibatkan 46 anggota dari Jabatan Penguatkuasaan DBKK, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sabah Electricity dan Bahagian Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (BKKP).
Hasil operasi, kesemua 166 struktur setinggan haram berjaya dirobohkan.
DBKK memaklumkan pemantauan dan tindakan susulan akan diteruskan untuk memastikan tiada struktur haram baharu didirikan di kawasan berkenaan.
Sumber: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK)

