Oleh: Nurul Fazliana Norman
KUDAT: 3 Nov 2026 — Kegiatan pengedaran dadah di daerah ini terus dikesan pihak berkuasa selepas seorang lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 30-an dan 40-an ditahan dalam satu operasi kira-kira jam 12.30 tengah malam kelmarin.
Pemeriksaan sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat terhadap suspek wanita menemukan satu paket plastik lutsinar mengandungi ketulan hablur jernih disyaki syabu seberat 50.62 gram. Rampasan itu dianggarkan bernilai RM5,000.
Kedua-dua suspek dibawa ke IPD Kudat bersama barang rampasan untuk tindakan lanjut.
Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek wanita positif amphetamine dan methamphetamine. Suspek lelaki pula negatif.
Semakan rekod jenayah lampau mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Kedua-dua suspek dikenakan permohonan reman tujuh hari untuk membantu siasatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Kudat, SUPT Mohd Harish J Ibrahim berkata pihaknya akan terus mempergiat usaha membanteras kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah, khususnya di daerah ini.
Beliau turut menggalakkan orang ramai menyalurkan maklumat untuk membantu pihak polis membanteras jenayah dadah demi keselamatan dan kesejahteraan komuniti.
Sumber: Polis Daerah Kudat
