Oleh: Nurul Fazliana Norman
KOTA KINABALU: 13 September 2026 – Bintang Akademi Fantasia musim kelapan, Emma Suhaimi kembali mewarnai industri muzik tempatan selepas 16 tahun menerusi single terbaharunya, “Tersakiti”, yang diraikan menerusi sebuah acara di Citadines Waterfront Kota Kinabalu, semalam, selain menyasarkan impian untuk mengadakan sebuah konsert besar.
Selepas persembahan berkenaan, Emma berkata sambutan positif yang diterima memberi keyakinan kepadanya untuk kembali aktif dalam bidang muzik, malah menyasarkan untuk mengadakan persembahan pada skala lebih besar pada masa akan datang.
“Bukan persembahan mini lagi. Kita mahu konsert pula,” katanya ketika ditemui media selepas persembahannya malam tadi.
Emma berkata, sokongan peminat menerusi TikTok turut menjadi antara faktor yang mendorongnya untuk kembali menghasilkan karya selepas sekian lama.
“Saya menunggu selama 16 tahun. Dan Alhamdulillah, masanya telah tiba,” katanya lagi.
Katanya, sambutan terhadap kemunculannya semula turut membuka peluang untuk beliau meneruskan perancangan dalam bidang muzik.
“Alhamdulillah, saya rasa memang ada peluang. Insya-Allah, memang akan ada plan,” ujarnya.

“ Tersakiti” merupakan lagu balada ciptaan komposer Indonesia, Ilham Baso yang membawa kisah kekecewaan dalam cinta serta keberanian untuk melepaskan hubungan toksik.
Menurut Emma, “Tersakiti” bukan sekadar lagu berkisar tentang perpisahan, sebaliknya turut membawa mesej supaya individu yang terperangkap dalam hubungan toksik berani memilih kebahagiaan dan mencintai diri sendiri.
“Mesej lagu ini sebenarnya sangat mudah. Kalau kita sudah tahu berada dalam hubungan yang toksik, segeralah tinggalkan sebelum kita menjadi lebih ‘Tersakiti’.”
Emma berkata pengalaman peribadinya membantu beliau menghayati emosi yang ingin disampaikan menerusi lagu itu, termasuk pengalaman melalui kekecewaan selama hampir 16 tahun.
“Saya tidak mahu menipu. Saya sendiri pernah melalui pengalaman yang menyakitkan dan mungkin itu juga antara sebab saya memilih lagu ini,” ujarnya lagi.
Emma menyifatkan kerjasama dengan Ilham Baso sepanjang proses pembikinan lagu sebagai pengalaman yang positif, selain gembira kerana diberi ruang untuk menyampaikan emosi mengikut karakter vokalnya sendiri.

Single “Tersakiti” terbitan Nova Music Malaysia mula distrim di semua platform penstriman muzik utama pada 14 Ogos 2026, manakala muzik videonya boleh ditonton menerusi saluran YouTube Nova Music Videos.

