Orang Asal Borneo perlu kuasai AI, pertahan identiti dan hak

5A6F5C91 6960 45C5 A7C0 89B5C21F096E 20BFD2F2 C77E 4D5D B928 41EDC6458B83

Oleh: Nurul Fazliana Norman

PENAMPANG: 23 Ogos 2026 — Masyarakat Orang Asal di Borneo perlu menguasai teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk memastikan mereka mampu membentuk masa depan sendiri, di samping mempertahankan bahasa, budaya, identiti dan pengetahuan tradisi dari ancaman digital.

Presiden Borneo Dayak Forum, Datuk Seri Panglima Dr Jeffry G. Kitingan berkata, ancaman terhadap masyarakat Orang Asal kini bukan lagi hanya melibatkan kehilangan tanah, tetapi turut merangkumi kehilangan data, bahasa, identiti dan hak pemilikan terhadap pengetahuan tradisi.

Katanya, teknologi tidak seharusnya menjadikan budaya dan pengetahuan Orang Asal sekadar kandungan untuk algoritma atau data yang boleh digunakan tanpa mengambil kira hak dan maruah komuniti.

3ed24283 c2a6 483b 8b4f 8c69a1a06f62

“Teknologi mesti berkhidmat kepada masyarakat Orang Asal, bukan merampas hak mereka,” katanya dalam ucapan pada Sambutan Hari Orang Asal Sedunia Sabah 2026 (SHOAS2026) di Koisaan Cultural Village (KCV), Kadazandusun Cultural Association (KDCA), Penampang, kelmarin.

Menurutnya, masyarakat Orang Asal perlu menjadi sebahagian daripada pembentukan masa depan teknologi, bukan sekadar menerima keputusan yang dibuat oleh pihak lain.

Beliau berkata, pengetahuan yang diwarisi dari nenek moyang mengenai hutan, sungai, biodiversiti dan kehidupan bermasyarakat merupakan satu bentuk kecerdasan yang perlu terus dipelihara.

IMG 1708

Katanya, perkembangan AI perlu diseimbangkan dengan Ancestral Intelligence atau kecerdasan nenek moyang yang mengajar manusia mengenai nilai, keseimbangan, tanggungjawab dan cara hidup.

“Artificial Intelligence mengajar mesin bagaimana untuk belajar. Ancestral Intelligence mengajar manusia bagaimana untuk hidup,” tambahnya.

Justeru, Jeffry menyeru masyarakat Orang Asal Borneo memperkukuh perpaduan dan solidariti untuk mempertahankan kepentingan bersama.

Menurutnya, walaupun Sabah, Sarawak, Kalimantan dan Brunei Darussalam dipisahkan oleh sempadan politik, masyarakat di Borneo berkongsi sejarah, budaya, alam sekitar dan warisan yang saling berkaitan.

27e3fe8e 0802 406d 94ab c12ac17c0349

Beliau turut menggesa kerajaan melihat masyarakat Orang Asal sebagai rakan strategik dalam pembangunan negara, termasuk dalam pendidikan, keusahawanan, sains, teknologi dan inovasi.

Katanya, pembangunan perlu memastikan masyarakat Orang Asal dapat mengekalkan identiti mereka sambil menikmati peluang dalam ekonomi dan dunia digital.

Jeffry turut menyeru golongan belia Orang Asal supaya menguasai AI, sains dan teknologi tanpa meninggalkan bahasa, budaya dan akar warisan mereka.

Menurutnya, golongan muda tidak sepatutnya beranggapan bahawa menjadi Orang Asal bercanggah dengan kemodenan.

IMG 1709

“Anda tidak sepatutnya memilih antara menjadi Orang Asal dan menjadi moden,” katanya.

SHOAS2026 berlangsung dari 21 hingga 23 Ogos di Koisaan Cultural Village, Penampang, dengan menghimpunkan wakil masyarakat Orang Asal dari Sabah, Sarawak, Kalimantan, Brunei Darussalam dan komuniti Orang Asal antarabangsa.

Program itu turut merangkumi Forum Antarabangsa, Majlis Wanita, perbincangan ekonomi dan kedaulatan Orang Asal, aktiviti kebudayaan dan warisan, Malam Kebudayaan, International Indigenous Cultural Ambassador Pageant serta Kota Kinabalu Declaration 2026.

Kota Kinabalu Declaration 2026 dijangka membawa aspirasi berkaitan hak Orang Asal, kelangsungan budaya, pemeliharaan alam sekitar, pendidikan, pemerkasaan ekonomi dan penggunaan teknologi secara bertanggungjawab.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal