Oleh: Nurul Fazliana Norman
RANAU: 3 September 2026 – Dua lelaki tempatan ditahan dan 40.5 liter air ketum dirampas dalam dua serbuan berasingan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau di sebuah perkampungan di daerah itu, pada 1 September.
Dalam serbuan pertama kira-kira jam 5.30 petang, seorang lelaki berusia 25 tahun ditahan bersama 10 botol mineral berisi air ketum, masing-masing berkapasiti 1.5 liter.
Turut dirampas ialah sebuah kotak polisterina, kaki dapur, tong gas, dapur memasak dan periuk yang dipercayai digunakan untuk memproses air ketum.
Dalam serbuan kedua kira-kira jam 5.40 petang, seorang lagi lelaki berusia 37 tahun ditahan bersama 17 botol mineral berisi air ketum berkapasiti 1.5 liter setiap satu.
Polis turut merampas sebuah peti berwarna merah, dua tong gas, dapur memasak dan periuk yang dipercayai digunakan untuk proses memasak air ketum.
Kedua-dua tangkapan dibuat hasil risikan berterusan dan maklumat masyarakat setempat.
Pengambilan dan pemprosesan cecair ketum merupakan kesalahan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, yang memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Ketua Polis Daerah Ranau, Superintenden Mursalin Mahmud, merakamkan penghargaan kepada masyarakat atas kerjasama dan keprihatinan dalam menyalurkan maklumat kepada polis.
Beliau berkata, IPD Ranau akan terus mempergiat operasi untuk membanteras aktiviti yang menyalahi undang-undang, selain memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat di daerah itu.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan jenayah diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Ranau di talian 088-875222.
Sumber: IPD Ranau

