Ops Pamer 2026: 94 peratus premis di Sabah patuhi keperluan pamer Perakuan Bomba

Gambar Pemeriksaan Pempameran Sijil Perakuan Bomba Dijalankan Di Premis Perniagaan Bagi Memastikan Pematuhan Terhadap Akta Perkhidmatan Bomba 1988 Dan Peraturan peraturan Berkaitan

KOTA KINABALU: 12 Jun 2026 – Sebanyak 94 peratus dari 33 premis yang diperiksa di seluruh Sabah dalam Ops Pamer 2026 mematuhi keperluan mempamerkan Perakuan Bomba, manakala dua premis (enam peratus) didapati gagal berbuat demikian.

Operasi yang dijalankan serentak pada 10 Jun lalu memberi tumpuan kepada pasar raya dan pusat beli-belah untuk memastikan Perakuan Bomba dipamerkan di lokasi yang mudah dilihat oleh orang ramai, seperti yang diperuntukkan di bawah Peraturan 6(2), Peraturan-peraturan Perkhidmatan Bomba (Perakuan Bomba) 2001.

Gambar Sesi Penerangan dan Khidmat Nasihat Keselamatan Kebakaran Diberikan Kepada Wakil Premis Bagi Meningkatkan Kesedaran Serta Pematuhan Terhadap Kehendak Undang undang
Sesi penerangan dan khidmat nasihat keselamatan kebakaran diberikan kepada wakil premis bagi meningkatkan kesedaran serta pematuhan terhadap kehendak undang-undang.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Pisar Aziz, berkata dua premis yang gagal mematuhi peraturan tersebut telah dikeluarkan kompaun.

Beliau menjelaskan bahawa Ops Pamer bukan sekadar operasi penguatkuasaan, tetapi bertujuan meningkatkan kesedaran dan memperkukuh budaya pematuhan terhadap keselamatan kebakaran dalam kalangan pemilik dan pengurusan premis.

Gambar Premis Sekitar Kota Kinabalu Yang Diperiksa
Contoh lokasi sijil Perakuan Bomba dipamerkan.

“Antara kesalahan yang dikenal pasti sepanjang operasi termasuk kegagalan mempamerkan Perakuan Bomba, pempameran di lokasi tidak strategik, dan penyimpanan sijil di pejabat pengurusan tanpa dipamerkan kepada umum,” katanya.

Gambar Contoh Sijil Perakuan Bomba Berkuatkuasa
Contoh sijil Perakuan Bomba berkuatkuasa.

Perakuan Bomba berfungsi sebagai bukti bahawa sesebuah premis telah memenuhi keperluan keselamatan kebakaran yang ditetapkan. Oleh itu, sijil tersebut perlu dipamerkan pada setiap masa di tempat yang mudah dilihat.

Walaupun kadar pematuhan mencatatkan tahap memberangsangkan, JBPM Sabah berpandangan masih terdapat ruang untuk penambahbaikan, terutamanya dalam meningkatkan kefahaman pemilik premis terhadap tanggungjawab undang-undang mereka.

Jabatan akan terus melaksanakan pemeriksaan berkala, operasi penguatkuasaan dan program advokasi bagi memastikan tahap pematuhan terus dipertingkatkan. Premis yang gagal mematuhi peruntukan boleh dikenakan tindakan lebih tegas di bawah Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341).

Kejayaan Ops Pamer 2026 mencerminkan peningkatan kesedaran dalam kalangan pengusaha premis terhadap kepentingan keselamatan kebakaran, sekaligus menyumbang kepada persekitaran yang lebih selamat untuk orang ramai.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


TV Sabah | News Portal