KOTA KINABALU: 19 Julai 2025 – Parti Amanah Negara (AMANAH) bersedia untuk meletakkan calon di lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN-17) akan datang, sebagai sebahagian daripada perancangan memperkukuh kehadiran politiknya di negeri itu.
Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu memaklumkan, perbincangan mengenai pengagihan kerusi masih berlangsung bersama rakan komponen dalam Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), namun tiada keputusan muktamad dicapai setakat ini.
AMANAH menyasarkan untuk bertanding di lima kerusi DUN termasuk Tanjung Aru, Sulabayan, dan Lumadan. Manakala terdapat dua lagi kerusi sedang dalam pertimbangan dan perbincangan dengan pimpinan tertinggi gabungan, katanya ketika melancarkan Jentera Pilihan Raya AMANAH Sabah, di Golden Hotel Sembulan, hari ini.
Menurut beliau, kerusi Tanjung Aru yang telah dikenal pasti sebagai kawasan milik PH turut menjadi tumpuan utama AMANAH, namun penentuan akhir calon dan parti yang akan mewakili PH di kawasan itu akan diputuskan secara konsensus.
Tambahnya, AMANAH sudah menyatakan hasrat secara terbuka untuk bertanding di Tanjung Aru. Namun, oleh kerana berada dalam gabungan, keputusan akhir bergantung kepada persetujuan bersama semua parti.
Sementara itu, Pengerusi AMANAH Sabah, Datuk Lahirul Latigu menekankan bahawa kekuatan jentera dan perkembangan organisasi parti di peringkat negeri menjadikan AMANAH layak diberikan ruang lebih luas dalam PRN kali ini.
Tegas Lahirul, AMANAH sudah lebih sedekad bertapak di Sabah dan kini mempunyai cawangan aktif di 18 kawasan. Walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran semenjak penglibatan dalam pilihanraya pada 2018, parti itu bukan sekadar untuk bertanding, tetapi mensasarkan kemenangan pada PRN akan datang.
Beliau turut menggesa semua jentera di peringkat kawasan agar meningkatkan kesiapsiagaan dan memperkemas gerak kerja menghadapi PRN-17 yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat.
AMANAH kini giat mempersiapkan kekuatan di peringkat akar umbi sebagai sebahagian daripada strategi menampilkan calon yang bukan sahaja kompeten, tetapi juga mampu memberi nilai tambah kepada kestabilan politik Sabah.
Sumber: Sabah Dimensi

