Kilang penapis minyak bina di Sabah, bukan di Labuan – Dr Jeffrey

photo 2025 09 29 00 48 26

KOTA KINABALU: 16 April 2026 – Jawapannya, “bukanlah di Labuan,” kata Ahli Parlimen Keningau, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan, yang mengalu-alukan seruan Tan Sri Harris Mohd Salleh untuk membina sebuah kilang penapisan minyak untuk pasaran Borneo dan Asia Utara, dengan menyokong hujah strategik beliau sebagai bertepatan memandangkan Sabah dan Sarawak menghasilkan lebih 60 peratus minyak Malaysia.

Perang Iran katanya, “bukan sahaja mendedahkan bahaya memproses sumber kita ribuan jauhnya, malah ia juga mengukuhkan lagi hujah bahawa kapasiti penapisan perlu dibina lebih dekat dengan sumber.”

“Saya rasa agak mengasyikkan bila orang yang sama mencadangkan kilang penapisan dibina di Labuan, ialah orang yang telah menjadikan Labuan sebagai Wilayah Persekutuan sejak awal lagi, iaitu keputusan yang kemudiannya diakui sendiri secara terbuka sebagai sesuatu yang beliau kesali,” ujarnya.

Dr Jeffrey menjelaskan bahawa Labuan adalah Wilayah Persekutuan, ”Ini bermakna kilang penapisan yang dibina di sana akan menjadi aset persekutuan, bukan aset Sabah.”

Beliau peringatkan bahawa cadangan pembinaan kilang penapisan baharu di Labuan sebagai, “langsung tidak memihak kepada kepentingan rakyat Sabah.”

Beliau berkata akibatnya Sabah akan kekal sebagai pembekal minyak mentah dan gas, tetapi hanya akan menonton segala keuntungan, hasil cukai dan nilai tambah dari aktiviti penapisan terus mengalir menjadi keuntungan Kerajaan Persekutuan, “… tepat seperti yang telah dan sedang berlaku dengan saluran paip Bintulu dan kompleks Pengerang,” katanya.

Dr Jeffrey perjelaskan apa yang berlaku sebenarnya selama ini, “Selama bertahun-tahun, gas kita (dari Sabah) disalurkan secara mentah melalui paip ke Bintulu, diproses di sana, dicairkan di sana, dan dijual ke Jepun, Korea Selatan dan China pada harga pasaran antarabangsa, sementara Sabah hanya menerima 5 peratus royalti daripada nilai mentah.”

“Kemudian kita membeli kembali produk gas yang sudah siap dalam kadar harga pasaran!” katanya, sambil menjelaskan bahawa saluran paip gas Sabah itu juga kini dalam proses untuk dihentikan, atau akan kehilangan tempat penyaluran.

Beliau menekankan bahawa, “Kedua-dua kilang penapisan minyak dan kemudahan pemprosesan gas mesti dibina di atas tanah Sabah, dimiliki oleh Sabah, dan dikendalikan oleh rakyat Sabah. Bukan di pulau Persekutuan atau di Johor.”

“Kita mesti memproses sumber kita di Sabah, supaya kita mengekalkan nilai di tempat asalnya!” tegasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal