PENAMPANG: 30 Mei 2026 – Usaha memartabatkan bahasa Kadazandusun dalam era digital terus berkembang dengan kewujudan Wikipedia bahasa Kadazandusun, namun platform ini memerlukan lebih ramai penyunting sukarela untuk memastikan kelangsungan dan pertumbuhan kandungannya.
Wikipedia berkenaan yang dilancarkan pada 2024 merupakan yang pertama seumpamanya untuk bahasa etnik di Malaysia. Kini, ia telah menghimpunkan ribuan artikel hasil sumbangan pelajar dan sukarelawan tempatan.
Pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Kent, Tuaran, Dr. Rosie Johnny berkata, platform itu diwujudkan bagi memastikan bahasa Kadazandusun terus relevan dalam era digital, selain membuka ruang kepada masyarakat mengakses pelbagai maklumat dalam bahasa ibunda mereka.

“Ketika ini terdapat ribuan artikel yang boleh diakses dalam bahasa Kadazandusun dan sebahagian besar kandungan itu dihasilkan oleh pelajar-pelajar IPG Kampus Kent yang mengikuti pengajian bahasa Kadazandusun,” katanya.B
eliau menjelaskan bahawa banyak aspek berkaitan budaya, sejarah dan warisan masyarakat Sabah yang masih belum didokumentasikan secara meluas dalam talian, justeru lebih ramai sukarelawan amat diperlukan untuk memperkaya lagi platform tersebut.
“Jika dahulu rujukan seperti kamus atau Komoi Boros hanya tersedia dalam bentuk fizikal, kini semuanya boleh diakses secara digital dan digunakan di mana-mana sahaja,” ujar Dr. Rosie.
Pembangunan Wikipedia bahasa Kadazandusun turut dibantu oleh wakil Wikimedia Malaysia, Taufik bin Rosman.
Kandungan yang dimuat naik bukan sahaja membantu proses penterjemahan antara bahasa Melayu, Inggeris dan Kadazandusun, malah menjadi sumber rujukan penting dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan penulisan.
Sepanjang pameran yang berlangsung sempena Pesta Kaamatan di Hongkod Koisaan, pengunjung turut berpeluang menyertai pelbagai aktiviti interaktif termasuk menyumbangkan perkataan dalam bahasa ibunda masing-masing sebagai sebahagian usaha memperkaya kandungan bahasa etnik di platform Wikimedia.
Para sukarelawan yang berminat untuk menyumbang boleh menghubungi pihak Wikimedia Malaysia atau IPG Kampus Kent bagi mendapatkan bimbingan dan maklumat lanjut.
