KOTA KINABALU: 16 April 2026- Kejadian pembekuan ais direkodkan di kawasan Substesen Panalaban, Taman Kinabalu, hari ini, pada ketinggian kira-kira 3,272.7 meter dari aras laut.
Taman-Taman Sabah dalam kenyataan memaklumkan kejadian itu berlaku susulan keadaan cuaca kering dan kelembapan udara rendah di kawasan Gunung Kinabalu sepanjang minggu ini.
Menurut kenyataan itu, keadaan berkenaan menyebabkan penurunan suhu ketara di kawasan altitud tinggi hingga mengakibatkan pembentukan ais pada permukaan tumbuhan dan sekitar base camp Panalaban.
Dijelaskan bahawa pembekuan ais merupakan fenomena semula jadi yang lazim berlaku secara berkala di kawasan altitud tinggi Gunung Kinabalu, terutamanya ketika cuaca cerah, kering dan suhu menurun dengan ketara pada waktu malam hingga awal pagi.
Sehubungan itu, semua pendaki, malim gunung, porter dan petugas di kawasan Panalaban dinasihatkan memakai pakaian bersesuaian dengan cuaca sejuk, mengekalkan tahap hidrasi badan dan mematuhi arahan keselamatan pihak pengurusan serta petugas Taman-Taman Sabah.
Taman-Taman Sabah memaklumkan pihaknya akan terus memantau perkembangan cuaca dan suhu di kawasan altitud tinggi bagi memastikan keselamatan pengunjung dan petugas sentiasa terjamin.
Sumber : Sabah Park
