PAPAR: 29 April 2026 – Seorang penggiat seni budaya dari Papar meluahkan rasa syukur dan bangga apabila diberi peluang mewakili daerah itu ke peringkat negeri dalam program RTK, sekali gus meneruskan usaha memartabatkan muzik tradisi Kadazan.
Richwin Chee Ah Siew, 27 tahun, berkata penyertaannya bukan sekadar pertandingan, sebaliknya membawa misi memperkenalkan semula warisan alat muzik tradisi kepada generasi muda.
Menurutnya, persiapan ke RTK sebenarnya telah bermula sejak beberapa tahun lalu menerusi inisiatif mengendalikan kelas kulintangan tradisi di Papar. Usaha itu bertujuan menarik minat belia untuk mengenali serta mempelajari alat muzik warisan.
“Saya tidak mahu alat muzik tradisi Kadazan di Papar ini hilang. Ini adalah perjuangan saya dan manifesto saya, oleh itu saya akan teruskan sampai bila-bila,” jelasnya.
Beliau turut menjelaskan alat muzik yang dimainkan olehnya semasa perarakan masuk dikenali sebagai sasalut, iaitu sejenis kulintangan kecil yang menghasilkan bunyi hampir sama dengan kulintangan tetapi mempunyai bentuk dan saiz berbeza. Selain itu, katanya, muzik tradisi Papar sebenarnya kaya dengan pelbagai lagu dan variasi paluan gong, bukan sekadar magagong seperti yang sering difahami masyarakat umum.
Richwin juga aktif sebagai guru tradisi secara sambilan dan mengetuai kumpulan Tinimungan Magagagung Papar, yang pernah menjuarai pertandingan magagong peringkat daerah sebanyak dua kali tahun lalu.
Mengulas cabaran sepanjang pertandingan, beliau mengakui berdepan masalah teknikal melibatkan prop persembahan.
“Seruling yang saya bawa sebagai inovasi rosak sebelum naik pentas. Jadi saya perlu fikir cara untuk menyesuaikan persembahan dalam masa singkat,” katanya. Namun masalah tersebut berjaya diatasi dengan baik.
Bagi persiapan ke peringkat negeri, beliau memberi tumpuan kepada aspek persembahan termasuk gaya pentas dan sesi soal jawab (Q&A), yang menurutnya banyak bergantung kepada keyakinan diri.
“Jawapan Q&A ini datang dari hati saya sendiri. Apa yang penting adalah keikhlasan dan kefahaman terhadap apa yang kita perjuangkan,” ujarnya.
Beliau yang fasih berbahasa Kadazan mengakui kepentingan penguasaan bahasa ibunda yang mana beliau sendiri mendapat didikan khusus dari datuknya. Mengakhiri temu bual, Richwin menyeru peserta lain agar memberikan yang terbaik dalam pertandingan dan terus memartabatkan budaya masing-masing.
“Kepada semua finalis, buat yang terbaik. Kita jumpa di pentas seterusnya,” katanya.
