KOTA KINABALU: 3 Mei 2026 – Seramai 65 warga asing ditahan dalam operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah di Lahad Datu dan Kota Kinabalu, semalam.
Di Lahad Datu, Ops Sapu menyaksikan 69 individu diperiksa dengan 50 warga asing ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen termasuk tidak memiliki dokumen sah dan melanggar syarat pas.
Tangkapan melibatkan warga Filipina iaitu 11 lelaki dewasa, sembilan perempuan dewasa, lapan kanak-kanak lelaki dan 12 kanak-kanak perempuan.
Selain itu, warga Indonesia turut ditahan membabitkan tiga lelaki dewasa, tiga perempuan dewasa dan masing-masing dua kanak-kanak lelaki dan perempuan.
Sementara itu di Kota Kinabalu, Ops Mahir dan Ops Sapu melibatkan pemeriksaan ke atas 41 individu dengan 15 warga asing ditahan.
Dari jumlah itu, tangkapan melibatkan warga Filipina terdiri daripada dua lelaki dewasa dan lapan perempuan dewasa, manakala lima lelaki warga China turut ditahan atas kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Kesemua yang ditahan dibawa ke depot imigresen untuk tindakan lanjut.
JIM Sabah menegaskan operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat untuk membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) dan memastikan pematuhan undang-undang imigresen negara.
