Tidak mengenal erti putus asa, Ray Asmadin membawa nama Sandakan ke pentas negeri

Gambar Ray Asmadin Juara Sugandoi Sandakan

SANDAKAN: 3 Mei 2026 – Selepas lebih sedekad mengukir nama dalam arena Sugandoi, Ray Asmadin sekali lagi membuktikan keunggulannya dengan muncul sebagai juara Sugandoi Sandakan 2026, lalu melayakkan diri ke pentas negeri.

Ray, 40, yang berasal dari Sandakan dan bertugas sebagai Pegawai Eksekutif di Hospital Duchess of Kent, bukanlah nama asing dalam pertandingan nyanyian tradisi itu. Sejak mula menyertai Sugandoi pada 2016, beliau telah merangkul kejuaraan peringkat daerah sebanyak lapan kali.

“Sudah hampir 10 tahun saya bersama Sugandoi. Banyak pengalaman dan kenangan yang saya kutip sepanjang perjalanan ini,” katanya.

image 2

Antara pencapaian pentingnya termasuk menjuarai Sugandoi Sandakan secara dalam talian serta mewakili N50 DUN Gum-Gum sebagai juara pada tahun 2021.

Edisi kali ini, Ray mempertaruhkan lagu Haro Koupusan Nu nyanyian Fanzi Ruji, yang menurutnya mempunyai nilai sentimental yang tinggi.

“Lagu ini sangat dekat dengan saya, dari segi melodi dan liriknya yang menyentuh perasaan. Malah, melalui lagu ini juga ramai mula mengenali saya dalam dunia Sugandoi,” jelasnya.

Mengulas pendekatan baharu pertandingan di Sandakan yang menggunakan konsep terus ke peringkat akhir tanpa saringan awal, Ray menyifatkannya sebagai langkah praktikal yang memberi manfaat kepada peserta.

“Konsep ini memberi peluang kepada semua peserta merasai suasana pentas akhir. Ia menjimatkan masa, tenaga dan kos kerana tidak perlu melalui proses uji bakat berulang,” katanya.

Dalam persiapan ke peringkat negeri di KDCA, beliau memberi tumpuan kepada kekuatan mental dan fizikal bagi menghadapi cabaran pertandingan yang lebih kompetitif.

“Berada di pentas negeri bersama juara-juara daerah lain memang mencabar. Ia memerlukan ketahanan mental dan fizikal kerana perlu melalui beberapa peringkat saringan,” ujarnya.

Ray turut mengakui cuaca panas menjadi antara cabaran utama, terutamanya pemakaian kostum etnik berasaskan kain baldu yang agak membebankan.

“Cuaca panas memang sedikit mengganggu fokus, tetapi dengan pengalaman yang ada, saya cuba menyesuaikan diri untuk memberikan persembahan terbaik,” katanya.

Setibanya di penghujung perbualan, beliau menitipkan kata-kata semangat kepada semua peserta Sugandoi, khususnya generasi baharu.

“Jaga kesihatan, menyanyilah dari hati dan gunakan lagu sebagai medium bercerita. Kalau ada peluang, dapatkan bimbingan vokal supaya lebih mengenali kemampuan diri,” pesannya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal