PENAMPANG: 3 Mei 2026 – Seorang wanita tempatan berusia 46 tahun ditahan selepas didapati positif dadah dalam satu operasi bersepadu yang dijalankan di dua premis hiburan sekitar daerah ini, awal pagi tadi.
Operasi yang dikendalikan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang itu melibatkan pemeriksaan terhadap 38 individu, termasuk pekerja dan pengunjung premis.
Hasil saringan air kencing mendapati wanita berkenaan disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah sebelum ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Ketua Polis Daerah Penampang memaklumkan operasi seumpama ini akan terus dipergiat dari semasa ke semasa sebagai langkah proaktif membanteras penyalahgunaan dadah, di samping memastikan premis hiburan mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Masyarakat khususnya golongan belia diingatkan agar menjauhi dadah kerana implikasinya bukan sahaja menjejaskan kesihatan dan masa depan, malah boleh membawa kepada tindakan undang-undang.
Pihak polis menegaskan komitmen berterusan dalam memastikan Penampang kekal sebagai kawasan yang aman, selamat dan bebas jenayah dari aktiviti penyalahgunaan dadah.
