TENOM: 3 Mei 2026 – Usaha menuntut hak Sabah, termasuk pulangan 40 peratus hasil negeri, perlu digembleng secara menyeluruh melibatkan semua pihak tanpa mengira perbezaan politik.
Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Ewon Benedick, menegaskan bahawa tuntutan tersebut adalah hak kolektif rakyat Sabah dan tidak wajar dipolitikkan.
Beliau berkata, pelbagai saluran perlu dimanfaatkan bagi memperkukuh perjuangan itu, termasuk melalui institusi kerajaan seperti Kabinet, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, selain platform masyarakat seperti forum, bengkel dan program kesedaran.
“Perjuangan ini melibatkan kepentingan seluruh rakyat Sabah, justeru ia menuntut kesatuan dan komitmen bersama dari semua pihak,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan sambutan Pesta Kaamatan UPKO Tenom di Padang Bandaran Tenom.

Menurut beliau, UPKO kekal konsisten memperjuangkan hak negeri seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan dipersetujui menerusi Perjanjian Malaysia 1963.
Ewon turut merakamkan penghargaan terhadap usaha kerajaan negeri di bawah pimpinan Hajiji Noor dan Kerajaan Persekutuan dalam melaksanakan beberapa perkara berkaitan pengembalian hak Sabah setakat ini.
Mengulas tuntutan 40 peratus hasil negeri, beliau menjelaskan bahawa cadangan pelaksanaannya telah diketengahkan lebih awal, termasuk melalui pendekatan berasaskan hasil yang jelas seperti kutipan oleh agensi berkaitan.
Bagaimanapun, beliau mengakui masih terdapat isu yang belum dimuktamadkan, termasuk berkaitan perkongsian data hasil petroleum, namun menegaskan bahawa rundingan akan terus diperkukuh melalui saluran rasmi antara kerajaan.
Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan satu Rang Undang-Undang berkaitan pengurusan alam sekitar dan sisa pepejal dijangka dibentangkan di Dewan Undangan Negeri tahun ini.
