PENAMPANG: 12 September 2026 — Polis menahan dua lelaki tempatan berusia 20 dan 37 tahun yang disyaki terlibat dalam kejadian kecurian kabel di tepi jalan sekitar Kampung Sugud, kelmarin.
Kejadian dilaporkan kira-kira jam 3 pagi selepas anggota Unit Kereta Peronda (MPV), Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK), IPD Penampang menerima maklumat dari Pusat Kawalan Daerah (DCC) Penampang.
Pemangku Ketua Polis Daerah Penampang, ASP Arisanti Aziz, berkata kedua-dua suspek ditahan orang awam sebelum diserahkan kepada polis.
“Bertindak atas maklumat, anggota MPV terus bergegas ke lokasi dan mendapati dua lelaki berusia 20 dan 37 tahun telah ditahan oleh orang awam sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Polis turut merampas dua alat pemotong kabel dan satu gulung wayar kabel yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian.
Kedua-dua suspek dibawa ke IPD Penampang bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 431 Kanun Keseksaan.
Sumber: Polis Daerah Penampang

