Anak muda Tatana angkat Sayau Moginum ke pentas lebih luas

Gambar Elvince

KUALA PENYU: 28 April 2026 – Minat yang bermula sejak kecil kini menjadi misi hidup seorang anak muda dari Kampung Kelampun, yang tekad memartabatkan seni warisan etnik Tatana melalui penglibatan aktif dalam tarian tradisional.

Elvince Erick, 22, bukan sekadar penari biasa. Dengan ketinggian 182 sentimeter dan penuntut separa perubatan dalam bidang kejururawatan di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Kota Kinabalu, membuktikan bahawa minat terhadap budaya boleh bergerak seiring dengan pencapaian akademik. Anak sulung lima beradik ini telah terlibat dalam dunia tarian sejak usia 10 tahun.

Beliau sinonim dengan tarian Sayau Moginum, iaitu tarian tradisi etnik Tatana yang berasal dari Kuala Penyu. Menurutnya, tarian tersebut tidak lagi sukar untuk dikuasai memandangkan beliau telah menghayatinya lebih dari 12 tahun, menjadikan setiap gerak tari sebati dengan dirinya.

“Minat ini datang dari pendedahan awal keluarga, khususnya sebelah ibu yang aktif dalam kegiatan kebudayaan. Sejak kecil, saya sudah biasa terlibat dalam Pesta Kaamatan dan pelbagai majlis keramaian,” katanya.

Elvince turut menganggotai kumpulan kebudayaan Limbai Karamaian Kampung Kelampun yang diketuai oleh Jainah Ngoai dan Ester Ermelissa Ngoai. Kumpulan tersebut memainkan peranan penting dalam usaha memelihara dan mengangkat martabat adat dan budaya etnik Tatana di daerah itu.

Mengulas mengenai keunikan tarian Sayau Moginum, beliau menjelaskan bahawa tarian itu merupakan elemen penting dalam ritual Upacara Moginum, yang melambangkan kesyukuran dan penutup kepada upacara tersebut. Selain itu, tarian berkenaan juga dipercayai berfungsi sebagai simbol jemputan kepada roh nenek moyang untuk turut hadir dalam upacara berkenaan.

“Tarian ini melibatkan seorang penari lelaki utama sebagai Pengalai, diiringi penari lelaki lain sebagai Ponyinggarung bersama beberapa penari wanita. Ia ditarikan secara beramai-ramai oleh ketua adat dan ahli keluarga,” jelasnya.

Dalam perkembangan terbaharu, Elvince bakal mewakili daerah Kuala Penyu dalam pertandingan RTK tahun ini. Penyertaan tersebut, katanya, merupakan platform terbaik untuk mengembangkan potensi diri di samping memperjuangkan kelangsungan seni budaya tradisi.

“Kuala Penyu tidak mengadakan pertandingan RTK pada tahun ini, jadi saya menyertai pencarian di peringkat pusat dan berharap dapat mewakili daerah saya sendiri” katanya.

Sehubungan itu, Elvince bertekad untuk menjadi contoh kepada golongan muda dengan terus aktif dalam program kebudayaan dan memanfaatkan media sosial sebagai medium mempromosikan tradisi warisan.

“Adat dan budaya adalah identiti kita. Sebagai generasi muda, kita perlu memainkan peranan untuk memastikan ia terus hidup dan dihargai,” tegasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal