Frezerian bantu kanak-kanak kuasai membaca dengan Jolly Phonics

Gambar Jolly Phonics

KOTA KINABALU: 29 April 2026 – Tanpa latar belakang formal dalam bidang pendidikan, seorang anak tempatan dari Bundu Tuhan membuktikan bahawa minat dan kesungguhan mampu membuka jalan dalam membantu kanak-kanak menguasai kemahiran membaca.

Frezerian Rayner Karim, 33, mula mendalami kaedah fonik selepas menamatkan pengajian di UNITAR International University. Pendedahan kepada pendekatan Jolly Phonics menarik minatnya untuk mencuba sendiri kaedah tersebut dalam membantu kanak-kanak belajar membaca.

Usaha itu bermula secara tidak formal di rumah apabila beliau menguji kaedah fonik terhadap seorang kanak-kanak dalam kalangan keluarga. Hasil yang cepat dan memberangsangkan, termasuk keupayaan membaca ayat mudah dalam tempoh singkat, menjadi titik permulaan kepada inisiatif yang lebih tersusun.

Bermula sebagai kelas kecil secara home tutor, pendekatan tersebut kini berkembang selepas mendapat kepercayaan ibu bapa yang melihat perubahan ketara dalam kemahiran membaca anak-anak mereka.

Program ini menyasarkan kanak-kanak berumur antara empat hingga 12 tahun, khususnya yang masih lemah dalam asas literasi.

“Sepanjang hampir lapan tahun pelaksanaan, pendekatan fonik yang digunakan memberi fokus kepada pengenalan bunyi huruf secara sistematik, sekali gus membantu kanak-kanak membaca dengan lebih lancar dan yakin.” katanya.

Program ini kini turut disokong oleh beberapa tenaga pengajar yang mempunyai pengalaman dalam pengajaran fonik, bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat dalam kalangan ibu bapa.

Frezerian menjelaskan, “perkembangan pelajar juga dikongsi melalui platform digital seperti TikTok, yang memaparkan hasil pembelajaran secara langsung dan menjadi rujukan kepada ibu bapa lain.”

Berteraskan kaedah Jolly Phonics yang digunakan secara meluas di peringkat antarabangsa, usaha ini menunjukkan bahawa pendekatan alternatif yang konsisten dan berfokus mampu membantu meningkatkan literasi awal kanak-kanak.

Inisiatif tersebut sekali gus membuktikan bahawa komitmen individu, walaupun tanpa latar belakang pendidikan formal, tetap mampu memberi impak besar dalam pembangunan asas pembelajaran generasi muda.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal