KOTA KINABALU: 28 April 2026 — Penyanyi tempatan, Dabra Sia, tampil dengan karya terbaharu berjudul SUARA, sebuah lagu yang mengetengahkan elemen tradisi dan keramaian masyarakat Sabah, disuntik dengan kelainan menerusi gabungan gaya muzik dunia.

Menurutnya, konsep SUARA diinspirasikan oleh semangat perpaduan dan keharmonian antara pelbagai kaum dan agama di Sabah. Lagu tersebut membawa simbolik bahawa suara rakyat, walaupun berbeza latar belakang, tetap mampu bersatu sebagai satu kekuatan.
“Suara dalam lagu ini melambangkan suara rakyat. Walaupun berbeza bangsa dan agama, kita tetap satu,” jelasnya.
Dari segi penghasilan, Dabra menyifatkan proses rakaman lagu ini sebagai ringkas kerana ia lebih berfokus kepada elemen laungan semangat untuk pendengar. Namun begitu, beliau mengakui aspek susunan muzik dan pembikinan video muzik memerlukan perhatian yang lebih teliti.
Untuk memastikan kualiti produksi, Dabra bekerjasama dengan beberapa pihak berpengalaman termasuk SASA sebagai rakan kolaborasi utama yang menyokong mesej lagu tersebut. Susunan muzik dihasilkan oleh Jun dari Juntingzon Production, manakala pembikinan video muzik dikendalikan oleh Bob H Norbert.
Beliau turut berharap SUARA mampu diterima baik oleh peminat dan menjadi medium penyatuan hati dalam kalangan pendengar, khususnya masyarakat Sabah.

“Saya harap lagu ini dapat menyatukan hati apabila didengari, bukan sahaja untuk Sabah tetapi juga seluruh Malaysia,” katanya.
Lagu SUARA disasarkan kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan bangsa, selaras dengan mesej utamanya yang menekankan kepentingan perpaduan dalam kepelbagaian.
