TUARAN: 4 November 2025 – Juara pertandingan “Kids Got Talent Malaysia” dan “Classical Singing Competition”, dan, Mary Grace juara One In A Million 2025 merupakan antara kejayaan hasil bimbingan Rhowel Rolland, nama yang tidak asing lagi sebagai pencipta ruang baharu dunia nyanyian.
Di Fortissimo Music Studio, Rhowel menerapkan pendekatan latihan secara bersemuka dan kelas koir, disokong dengan program seperti “Monthly Recital” dan konsert tahunan untuk membantu pelajar membina keyakinan dan pengalaman persembahan.
Dari kampung kecil di Tuaran ke pentas-pentas besar, Rhowel Rolland Raymond Pagi, 34, kini muncul sebagai antara tenaga penggerak dalam industri seni terutamanya vokal di Sabah.
Berbekalkan Diploma Muzik (Vokal Klasik) dari ASWARA dan Ijazah Sarjana Muda Muzik (Piano Klasik) dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), beliau bukan sahaja dikenali sebagai penyanyi, malah seorang guru vokal profesional yang aktif membimbing bakat muda sejak tahun 2010.
Rhowel turut aktif sebagai penyanyi lagu single “Poboroso Kumaa Doho”, sebuah lagu berbahasa Kadazandusun berentak R&B menerima sambutan hangat dalam kalangan pendengar. Beliau turut memaklumkan single baharu kini sedang dalam proses rakaman dan bakal dilancarkan tidak lama lagi.
Semasa pandemik, beliau turut memanfaatkan platform digital untuk meneruskan sesi latihan dalam talian, dan kehadirannya di TikTok menjadikan lebih ramai mengenali dirinya sebagai tenaga pengajar vokal yang mudah didekati.
Rhowel mula berjinak dalam pengajaran vokal ketika masih menuntut di ASWARA, terinspirasi oleh para pensyarah muziknya, khususnya Prof. Dr. Siti Chairani Proehoeman, tokoh tersohor yang juga guru kepada nama-nama besar seperti Datuk Syafinaz Selamat, Ning Baizura, dan Nikki Palikat.
Bagi Rhowel, seni vokal bukan sekadar hiburan, tetapi satu bidang ekonomi yang berpotensi besar. Beliau berharap agar lebih banyak peluang dicipta untuk bakat baharu di Sabah serta merancang menubuhkan akademi muzik sendiri dan bekerjasama dengan nama-nama besar industri pada masa depan.
Tambah Rhowel, kelas-kelas berkaitan pemantapan vokal akan diteruskan agar lebih ramai yang dapat mempelajari teknik nyanyian yang tepat dan berkesan. Beliau turut menyatakan kelas seterusnya akan dijalankan di studio miliknya pada 11 November ini.

Tips emas Rhowel untuk semua, “Nyanyian adalah satu seni yang indah dan perlu dihargai dengan disiplin serta emosi yang positif, Singing is beautiful — don’t spoil it by anger.”

