Inkues Zara Qairina: Salah Faham Punca Penutupan Telefon Awam Sekolah

photo 2025 09 19 17 20 51

KOTA KINABALU: 19 September 2025 – Prosiding inkues kematian pelajar, Zara Qairina Mahathir, hari ini mendengar keterangan bahawa maklumat tidak tepat berhubung arwah telah membawa kepada penutupan telefon awam di SMKA Tun Datu Mustapha.

Saksi kelapan, Ketua Warden sekolah berkenaan, Azhari Abd Sagap, 31, berkata seorang ibu pelajar cuba menghubunginya sebanyak tiga kali ketika beliau berada di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Queen Elizabeth pada 16 Julai lalu.

Katanya, beliau tidak menjawab panggilan itu kerana berada di Unit Kecemasan selepas ambulans membawa Zara ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Menurut Azhari, ibu pelajar berkenaan bertanyakan mengapa anaknya, yang dirujuk sebagai pelajar A, berada di hospital.

Beliau kemudian menjelaskan bahawa pelajar A sebenarnya masih berada di sekolah, bukan di hospital.

Susulan itu, beliau mengarahkan supaya telefon awam sekolah ditutup kerana bimbang penyebaran maklumat tidak sahih.

Pelajar A adalah salah seorang murid yang dikaitkan dengan kes buli melibatkan Zara.

Ketika disoal oleh peguam pelajar A, Joan Goh, Azhari menegaskan bahawa soalan daripada ibu berkenaan menunjukkan wujudnya maklumat tidak tepat yang tersebar.

Azhari turut memberitahu Mahkamah Koroner bahawa ibu Zara, Noraidah Lamat, memaklumkan kepadanya di hospital bahawa Zara dan pelajar A merupakan kawan baik.

Beliau berkata pelajar A mengikut Zara pulang ke Sipitang pada 12 Julai kerana sekolah mengadakan gotong-royong Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), dan situasi itu mungkin menyebabkan Noraidah menganggap pelajar A adalah sahabat baik anaknya.

Namun selepas kematian Zara, Azhari dimaklumkan oleh ibu pelajar A bahawa Noraidah telah mengganggu anaknya melalui mesej WhatsApp.

Prosiding hari ke-10 inkues yang berlangsung separuh hari itu ditangguhkan ke Isnin.

Sumber:  Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal