KOTA KINABALU: 22 Julai 2026 – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan, Datuk Chin Tek Ming, mempersoalkan status sebenar peruntukan RM1.5 bilion yang diumumkan Perdana Menteri untuk Sabah serta menjelaskan keperluan kerajaan negeri memberikan penjelasan lengkap mengenai cadangan tambahan peruntukan RM1.6126 bilion dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, pada Selasa.
Chin mempersoalkan jumlah sebenar dana RM1.5 bilion Pemberian Khas Interim yang telah disalurkan kepada kerajaan negeri setakat ini. Beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri perlu menjelaskan jumlah sebenar yang telah dikreditkan ke akaun kerajaan negeri, tarikh penerimaan dan kementerian yang menerima agihan peruntukan tersebut.
Menurut beliau, rakyat Sabah berhak mengetahui kedudukan sebenar peruntukan itu kerana ia melibatkan kepentingan negeri dan penggunaan wang awam.
“Saya tidak bertanya mengenai sidang media. Saya tidak bertanya mengenai kenyataan akhbar. Saya tidak bertanya mengenai janji. Saya bertanya mengenai wang yang telah masuk ke akaun Kerajaan Negeri Sabah,” tegasnya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peningkatan Pemberian Khas Interim Sabah kepada RM1.5 bilion pada perayaan Pesta Kaamatan Sabah 2026 pada 30 Mei lalu. Menurut Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong, peningkatan pemberian khas interim itu tidak akan mengurangkan siling peruntukan operasi dan pembangunan negeri di bawah Belanjawan Persekutuan tahun ini.
Setakat ini, Sabah telah menerima bayaran Pemberian Khas Interim sebanyak RM600 juta dari kerajaan Persekutuan pada 12 Jun 2026. Penolong Menteri Kewangan Negeri Datuk Seri Mohd Ishak Ayub memaklumkan beberapa pusingan surat-menyurat antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah telah berlaku pada 9, 19 dan 26 Jun 2026, dan kerajaan negeri telah meminta baki RM900 juta lagi disalurkan dalam tahun ini.
Selain itu, Chin turut meminta kerajaan menjelaskan sama ada cadangan tambahan perbelanjaan sebanyak RM1.6126 bilion mempunyai kaitan dengan peruntukan RM1.5 bilion yang diumumkan Kerajaan Persekutuan.
Beliau berkata, jika peruntukan itu digunakan, kerajaan perlu menyatakan jumlah yang terlibat, manakala jika tidak, sumber kewangan sebenar untuk membiayai tambahan perbelanjaan itu juga perlu dijelaskan kepada Dewan.
Chin menegaskan bahawa kerajaan negeri perlu memberikan penjelasan yang lengkap mengenai cadangan tambahan peruntukan tersebut, termasuk pihak yang akan menerima manfaat dan hasil yang bakal dinikmati rakyat.
Menurut beliau, kerajaan juga perlu menjelaskan mengapa Bajet 2026 yang diluluskan pada November tahun lalu tidak lagi mencukupi dan sama ada keadaan itu berpunca dari salah anggaran, perbelanjaan yang tidak dirancang atau kelemahan dalam perancangan kewangan.
“Apabila Kerajaan datang ke Dewan meminta tambahan sebanyak ini, Kerajaan memikul tanggungjawab untuk memberikan penjelasan yang lengkap. Dewan ini bukan cop getah,” katanya.
Beliau berkata, setiap ringgit wang rakyat yang dibelanjakan perlu dipertanggungjawabkan secara telus kerana Dewan Undangan Negeri berperanan memastikan perbelanjaan kerajaan dilaksanakan dengan berhemah.
Menurutnya, kerajaan juga perlu menjawab persoalan yang dibangkitkan dengan fakta, angka dan rekod supaya rakyat memahami rasional cadangan tambahan peruntukan tersebut.
Kerajaan Negeri memohon peruntukan tambahan sebanyak RM1.6126 bilion untuk membiayai perbelanjaan operasi sehingga penghujung tahun ini. Peruntukan tambahan itu merangkumi enam kategori utama perbelanjaan iaitu caruman kepada kumpulan wang berkanun sebanyak RM856 juta (53 peratus), perbelanjaan operasi RM278 juta (17 peratus), pelaburan RM210 juta (13 peratus), perbelanjaan pentadbiran RM162 juta (10 peratus), pemberian dalam negeri RM93 juta (enam peratus) dan peruntukan khas RM13 juta (satu peratus).
Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun berkata sebahagian besar peruntukan tambahan yang dicadangkan adalah untuk caruman kepada kumpulan wang berkanun yang tidak melibatkan aliran keluar tunai, sebaliknya merupakan pelarasan perakaunan menerusi “pemindahan buku” dalaman.

