Oleh David E.
SANDAKAN: 27 Oktober 2026 — Kehadiran pemimpin Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) pada Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) ke-10 Parti Warisan di Dewan Hakka, di sini, Ahad lalu, memberi isyarat jelas mengenai kerjasama politik menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Pemangku Timbalan Presiden STAR, Datuk Lawrence Gimbang, dan Pemangku Presiden KDM, Priscella Peter, hadir bersama ahli masing-masing pada majlis yang dirasmikan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal itu.
Ditanya mengenai kerjasama dengan kedua-dua parti selepas AGM, Shafie merujuk kehadiran mereka: “Kehadiran mereka di sini hari ini sudah cukup jelas.” Bagaimanapun, beliau tidak mengumumkan sebarang pakatan pilihan raya rasmi, sebaliknya menyatakan rundingan masih di peringkat awal.
Shafie berkata, kerjasama perlu dibina atas dasar keikhlasan dengan setiap parti menyumbang kekuatan masing-masing, bukan cuba menguasai pihak lain. Beliau menegaskan keutamaan ialah memastikan calon yang ditampilkan boleh menang.
Ketua Bahagian STAR Sulaman, Datuk Kalakau Untol berkata, yang terbaik ialah parti-parti Sabah sendiri membentuk kerajaan Sabah baharu yang dipimpin oleh parti tempatan, kerana mereka lebih memahami keperluan Sabah—terutamanya memastikan hak Sabah dan jaminan kewangan 40% seperti termaktub dalam Perlembagaan ditunaikan sepenuhnya.
“Ketiga-tiga parti Warisan, STAR dan PKDM mempunyai agenda yang sama. Maka ada kewajaran parti-parti ini bekerjasama mendepani PRU-16. Saya yakin kerjasama ketiga-tiga parti ini menjadi pilihan rakyat Sabah yang baik” ujarnya.
Warisan menyasarkan 26 kerusi Parlimen pada PRU16 bersama parti rakan, meliputi 25 kerusi Sabah dan satu di Labuan. Sabah mempunyai 25 kerusi Parlimen persekutuan dari 222 kerusi.
Kehadiran Lawrence dan Priscella di pentas utama, termasuk bersama-sama memotong kek ulang tahun parti, dilihat penganalisis sebagai petunjuk awal penyatuan blok politik tempatan Sabah yang boleh memberi saingan sengit di kawasan majoriti Kadazandusun Murut.
Warisan sebelum ini menyatakan keterbukaan untuk bekerjasama dengan STAR dan KDM. Tiada persefahaman pilihan raya formal diumumkan setakat ini.

