KOTA KINABALU: 14 September 2026 – Persembahan sulung Hillsong Worship di Kota Kinabalu menghimpunkan kira-kira 3,000 orang dari pelbagai gereja dan aliran dalam satu malam penyembahan di Sabah International Convention Centre (SICC) semalam.
Acara Hillsong Worship Nights Asia Tour 2026 yang bermula pukul 8 malam itu dimulakan oleh penyanyi Sabah, Eylia Guntabid, menjadikannya suatu kesempatan melayani bersama dengan kumpulan penyanyi rohani antarabangsa.

“Saya sangat gembira sebab dapat melayani dan bekerja dalam acara konsert rohani. Saya juga mendapat pengalaman bekerjasama dengan kumpulan penyanyi rohani antarabangsa seperti Hillsong. Paling penting, dapat kesempatan melayani dengan bakat yang saya ada,” katanya.
Persembahan kemudiannya diteruskan oleh Hillsong Worship dengan 21 lagu termasuk Oceans, The Stand, Wake, What A Beautiful Name, I Surrender dan King of Kings.

Suasana penyembahan berlangsung penuh penghayatan, dengan hadirin dari pelbagai peringkat usia termasuk kanak-kanak dan warga emas yang bersama-sama mengikuti setiap sesi nyanyian rohani.
Peserta, Desandra, berkata pengalaman tersebut memberi makna kepadanya ketika berdepan keadaan dunia yang semakin menekan.

“Berhadapan dengan situasi dunia pada masa kini yang cukup menekan, saya merasakan melalui Worship Night ini iman percaya saya disegarkan dan diperbaharui. I feel so blessed, so happy and so grateful,” katanya.
Peserta, Olzie, pula berkata pengalaman malam itu tetap bermakna walaupun terdapat beberapa lagu yang tidak pernah didengarinya.

“Setiap lirik lagu menguatkan saya dan walaupun ada beberapa lagu yang saya tidak tahu, itu tidak menghalang saya menghadap hadirat Tuhan,” katanya.
Selain persembahan muzik, Hillsong Worship turut mengadakan sesi doa dan perkongsian bersama peserta.

Malam tersebut menjadi ruang pertemuan umat Kristian dari pelbagai latar untuk bersama-sama menghayati ibadah penyembahan dalam suasana penuh penghayatan.

