Oleh: Nurul Fazliana Norman
KOTA KINABALU: 11 September 2026 – Kepelbagaian budaya, etnik dan warisan di Sabah perlu terus dihargai dan dipelihara sebagai kekuatan dalam menyemarakkan semangat Hari Malaysia, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Timbalan Setiausaha Tetap II Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS), Datin Dr. Cleopatra @ Clare Asing berkata, sambutan Hari Malaysia pada 16 September bukan sekadar meraikan pembentukan Malaysia, tetapi turut mengingatkan rakyat Sabah terhadap identiti dan sejarah negeri itu.
Menurutnya, kepelbagaian budaya Sabah yang merangkumi pelbagai etnik, bahasa, makanan, pakaian tradisional dan seni persembahan merupakan aset yang perlu dipertahankan.
“Kita tidak perlu menjadi satu untuk bersatu. Sebaliknya kita boleh berbeza tetapi tetap saling menghormati,” katanya ketika ditemui dalam program temu bual Santai Ja Ba semalam.
Beliau berkata, usaha mendokumentasikan, memelihara dan mempromosikan warisan budaya perlu diperkasakan supaya generasi muda tidak kehilangan pemahaman terhadap nilai selain makna di sebalik sesuatu tradisi.
Katanya, media sosial juga boleh dimanfaatkan golongan muda untuk memperkenalkan budaya Sabah menerusi kandungan kreatif berkaitan makanan tradisional, pakaian, tarian, muzik dan kisah komuniti.
Dalam masa sama, beliau berkata warisan budaya berpotensi menjadi sebahagian daripada pengalaman pelancongan Sabah selain membuka peluang ekonomi kepada komuniti tempatan menerusi produk makanan, kraftangan, pakaian tradisional dan inap desa.
“Pelancong hari ini bukan lagi semata-mata mahu melihat tempat yang cantik, tetapi mahu mendapatkan pengalaman, mengenali masyarakat, makanan, budaya dan cara hidup sesuatu tempat,” tambah beliau.
Cleopatra berkata pembangunan sektor pelancongan perlu memastikan masyarakat tempatan turut mendapat manfaat tanpa menjejaskan identiti dan keaslian budaya negeri.
Sementara itu, beliau memaklumkan Sambutan Hari Malaysia 2026 Peringkat Negeri Sabah akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada 16 September, bermula jam 8 malam.
Beliau turut mengingatkan generasi muda supaya tidak malu dengan identiti sendiri, sebaliknya terus meningkatkan ilmu, kemahiran dan memanfaatkan teknologi secara positif untuk membawa Sabah ke tahap lebih tinggi.
“Sayangilah negeri kita, tambah ilmu dan jangan mudah putus asa kerana generasi muda adalah pelapis dan harapan masa depan Sabah,” ujarnya.

