KOTA KINABALU: 2 Julai 2026 – Jawatankuasa Pemandu Bersih digesa supaya menghormati autonomi imigresen Sabah dan mengelak dari membuat pelbagai tuduhan tidak berasas berhubung sekatan kemasukan Pengarah Eksekutifnya, Asraf Sharafi Mohammad Azhar, ke Sabah baru-baru ini.
Muhammad Faisal Mohamad Mohidin, yang juga Mantan Pegawai Khas kepada Timbalan Ketua Menteri I Sabah, berkata kenyataan Jawatankuasa Pemandu Bersih yang cuba menggambarkan tindakan penguatkuasaan imigresen sebagai satu bentuk “intimidasi” dan mengaitkannya dengan arahan politik dari Ketua Menteri Sabah adalah tidak berasas dan tidak disokong oleh bukti yang jelas.
“Sebarang dakwaan sedemikian sewajarnya disokong dengan bukti yang jelas. Mengaitkan sesuatu keputusan pentadbiran atau penguatkuasaan secara terus kepada kepimpinan negeri tanpa fakta yang kukuh hanya mengundang kekeliruan dan berpotensi menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi kerajaan,” katanya dalam kenyataannya hari ini.
Beliau berkata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor, ketika ini sedang berada di Tanah Suci Makkah bagi menunaikan ibadah umrah, justeru cubaan mengaitkan tindakan imigresen tersebut dengan arahan politik daripada beliau adalah suatu dakwaan yang tidak wajar.
Faisal turut mengingatkan agar semua pihak tidak memanipulasi naratif dengan mengaitkan perkara ini dengan insiden melibatkan Fahmi Reza pada tahun 2025, yang hanya mewujudkan persepsi bahawa setiap tindakan penguatkuasaan mempunyai motif politik.
“Hakikatnya, setiap keputusan imigresen adalah tertakluk kepada penilaian pihak berkuasa berdasarkan undang-undang dan pertimbangan keselamatan semasa,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa Sabah mempunyai kedudukan istimewa di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta Akta Imigresen 1959/63 yang memberikan kuasa kepada kerajaan negeri dalam mengawal kemasukan individu ke Sabah, manakala pelaksanaan Notis Amaran Sabah (NAS) merupakan sebahagian dari mekanisme perundangan yang diperuntukkan dan perlu dihormati oleh semua pihak.
Mengenai isu keluarga yang diutarakan, Faisal berkata semua pihak menghormati urusan keluarga mana-mana individu, namun alasan tersebut tidak seharusnya dijadikan asas untuk mempertikaikan keputusan yang dibuat mengikut peruntukan undang-undang atau digunakan bagi membina naratif politik tertentu.
“Keamanan, keselamatan dan keharmonian rakyat Sabah hendaklah sentiasa menjadi keutamaan. Hak berhimpun perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab dan mengikut lunas undang-undang,” katanya.
Beliau turut mengingatkan mana-mana pihak luar supaya menghormati autonomi Sabah dan tidak menjadikan Sabah sebagai medan provokasi atau konflik politik yang boleh menggugat keharmonian masyarakat.
“Sabah merupakan sebuah negeri yang aman, berdaulat dan mempunyai hak dan bidang kuasa yang diperuntukkan oleh Perlembagaan dan undang-undang negara. Semua pihak digesa supaya menghormati proses perundangan, mengelakkan spekulasi yang tidak berasas, dan memastikan setiap kenyataan awam dibuat secara bertanggungjawab demi memelihara keharmonian dan kestabilan negeri,” katanya.

