KOTA KINABALU: Pengalaman unik berjual-beli seperti di Tamu kampung bakal dirasai pengunjung di pusat bandar menerusi Pameran Pelancongan Berasaskan Komuniti Sabah (CoBT) 2026 di Suria Sabah pada hujung minggu ini.
Acara tiga hari dari 20 hingga 22 November itu direka khas sebagai tarikan pelancong, membawa suasana Tamu sebenar ke dalam pusat beli-belah sebagai platform mempromosikan produk komuniti dari seluruh Sabah.
Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (LPS), Datuk Joniston Bangkuai, berkata pemilihan konsep berkenaan bertujuan memberikan pengalaman baharu kepada pelancong. Ia juga mencerminkan budaya setempat yang menjual hasil kampung secara terus kepada pembeli.

“Semangat itu diterapkan dengan menghubungkan pengusaha pelancongan berasaskan komuniti dengan pengunjung dan pemain industri.
“Menjelang Tahun Melawat Sabah 2027, kita mahu lebih banyak destinasi komuniti mendapat pendedahan dan menarik kunjungan pelawat,” katanya pada sidang media di Sabah Tourism Board, Jalan Gaya, hari ini.
Beliau berkata acara yang menyasarkan kira-kira 3,000 pengunjung itu juga membuka peluang ekonomi kepada penduduk luar bandar. Pendapatan dari sektor pelancongan dapat membantu membangunkan destinasi di luar kawasan tumpuan utama.
Pengunjung bakal disajikan dengan 30 reruai persatuan pelancongan daerah dan 12 reruai ejen pelancongan berdaftar. Selain membeli produk tempatan dan membuat tempahan pakej percutian kampung, mereka boleh menyertai pelbagai demonstrasi kraftangan, masakan tradisi dan permainan rakyat.
LPS turut memperluaskan platform Rural Tourism E-Connectivity (RuTEC) yang dimulakan sebagai projek perintis di Kiulu pada Julai 2025. Platform itu membolehkan pengusaha merekodkan tempahan dan e-resit dengan kerjasama syarikat teknologi tempatan, Datablu.
“Data pelancongan yang lebih menyeluruh akan membantu kita memahami prestasi destinasi dan minat pengunjung. Ia membolehkan perancangan dibuat dengan lebih berkesan untuk menyokong perkembangan pelancongan komuniti,” katanya.
LPS turut melancarkan kempen “Bah, Lakastah Kitani Ke Sabah” bermula 21 November hingga 31 Disember 2026 untuk menarik pelancong dari Brunei. Promosi khas disediakan supaya pelawat dari negara jiran itu bukan sahaja datang membeli-belah, malah singgah merasai pengalaman bercuti di kampung-kampung sekitar Sabah.
