Tambunan Groove Fest satukan komuniti peminat muzik daerah

Gambar Tambunan Groove Fest

TAMBUNAN: 24 Februari 2026 – Dunia seni muzik di Tambunan terus berkembang apabila Tambunan Groove Fest, yang berlangsung di Dewan SJK (C) Yuh Min pada 21 Februari lalu, menerima sambutan memberangsangkan murid daripada pelbagai sekolah.

Penganjuran sulung festival itu berjaya menjadi platform inklusif yang menghimpunkan pemain drum, peminat muzik serta komuniti setempat dalam suasana penuh semangat, kreativiti dan inspirasi. Program ini sekali gus membuka ruang kepada bakat-bakat muda untuk mengetengahkan potensi seni mereka di peringkat akar umbi.

Pengerusi Persatuan Belia Integrasi Tambunan memaklumkan bahawa penganjuran festival tersebut bertujuan menyatukan komuniti pemuzik dalam satu platform bersepadu, selain memperkasa perkembangan seni muzik tempatan secara berstruktur dan berterusan.

Festival itu dianjurkan oleh Fame Music Academy dengan kerjasama Persatuan Belia Integrasi Tambunan, mencerminkan komitmen kukuh kedua-dua pihak dalam memperkasa pembangunan bakat seni, khususnya dalam kalangan belia dan pelajar di daerah ini.

Lebih membanggakan, penyertaan program tersebut melibatkan pelajar dari lima sekolah rendah, tiga sekolah menengah, serta wakil pelajar dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), sekali gus memperlihatkan minat yang semakin meningkat terhadap seni muzik, khususnya permainan drum, merentasi pelbagai peringkat usia.

Gambar Tambunan Groove Activity
Peserta yang menunjukkan kemampuan bermain drum.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Tambunan, Sektor Pembangunan Bakat Murid, Apolonius Jimi. Turut hadir ialah Pengetua SMK Tambunan, Johari Awg Damit, serta beberapa guru besar sekolah rendah sekitar daerah ini, yang jelas memperlihatkan sokongan padu pihak kepimpinan pendidikan terhadap pembangunan bakat murid melalui seni dan muzik.

Dalam ucapan perasmiannya, Apolonius menekankan peranan penting pemain drum sebagai tunjang sesebuah persembahan muzik kerana mereka bertanggungjawab mengawal tempo dan kestabilan lagu.

“Pemain drum merupakan nadi utama yang menyatukan keseluruhan persembahan, sama ada lagu dimainkan secara perlahan atau rancak. Justeru, mereka perlu berdisiplin, memiliki ‘feel’ muzik yang baik serta menguasai pelbagai genre bagi melahirkan pemuzik yang pelbagai dan berkaliber,” katanya.

Program itu turut diserikan dengan penglibatan penceramah jemputan berpengalaman termasuk Christopher Junior dari UMS dan Mohd Ferhad Johari dari UPSI. Perkongsian ilmu turut diperkukuh oleh tutor drum Fame Music Academy, Noemi Genevie dan Onel Cyril, yang berkongsi pengalaman, teknik serta inspirasi kepada para peserta.

Penganjuran Tambunan Groove Fest dilihat sebagai langkah signifikan dalam memperkukuh ekosistem seni muzik tempatan serta membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda untuk berkembang dalam bidang kreatif secara profesional.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal