PENAMPANG: 25 Mei 2026 – Pengerusi Konsert Kadazan Dusun Cultural Association – International Student Cultural Exchange Programme (KDCA-ISCEP), Flavia Ignatius berkata, sambutan memberangsangkan itu turut diserikan dengan kehadiran delegasi dari Korea Selatan yang datang khas ke Sabah bagi menyertai program silang budaya berkenaan.

Menurut beliau, konsert tersebut menjadi platform penting untuk menyerlahkan bakat murid sekolah rendah dan menengah dalam bidang seni persembahan, selain memupuk semangat perpaduan menerusi budaya.
Katanya, peserta terdiri dari pelbagai latar belakang, suku kaum dan agama bersama-sama menjayakan program tersebut dalam suasana harmoni.
“Konsert ini bukan sahaja mengetengahkan bakat murid, tetapi turut menjadi ruang memperkenalkan dan memelihara warisan budaya kepada generasi muda,” katanya dalam ucapan pada konsert berkenaan.
Flavia menegaskan bahawa generasi muda merupakan medium utama dalam pelestarian budaya di Sabah.
“Penglibatan generasi muda amat penting kerana merekalah yang akan meneruskan dan memastikan kebudayaan kita terus hidup pada masa depan,” ujarnya.
Beliau berkata, murid yang mengambil bahagian turut dinilai oleh juri profesional dan pemenang berpeluang mengikuti program pertukaran budaya ke Korea Selatan.
Sebanyak 36 sekolah rendah dan menengah mengambil bahagian dalam lima kategori pertandingan, melibatkan tarian kontemporari atau kreatif Sabah, kreasi antarabangsa, dan nyanyian lagu Kadazandusun dan antarabangsa.
