“Kalau Tuhan sudah bagi koma, siapa kita untuk letak noktah”- Ceelcia UNK Sandakan

48fb6f89 4bbc 4101 ad6a c9d4a6b5c5b6

SANDAKAN: Enam kali sudah Ceelcia Reeka Mosungin menyertai Unduk Ngadau Kaamatan, dua kali di peringkat daerah, dua kali mewakili DUN, dan dua kali lagi di peringkat kampung. Namun, tahun ini, gadis pendiam dari Kota Belud ini akhirnya berdiri di pentas sebagai juara Unduk Ngadau Kaamatan Sandakan 2026.

Ceelcia yang kini melanjutkan pengajian dalam bidang Pertanian di Universiti Malaysia Sabah mengakui, dirinya bukan seorang yang mudah bercakap di hadapan orang ramai.

“Sudah tentu cabaran paling besar adalah untuk bercakap. Tetapi bila saya mula ikut pertandingan ini, saya mula keluar dari zon selesa dan dari sini juga saya mula berani bercakap di hadapan orang ramai.

“Saya sebenarnya tidak takut orang melihat kelemahan saya sebab semua orang ada kekurangan dan kelebihan masing-masing,” katanya.

Bagi Ceelcia, minat mendalam terhadap budaya dan adat masyarakat KDMR menjadi sebab dia tidak pernah berhenti mencuba walaupun sudah berkali-kali menyertai pertandingan tersebut.

“Saya memang sangat minat dalam bidang ini dan mahu menjadi contoh kepada golongan muda untuk mempelajari dan memahami adat budaya kita sebagai orang KDMR, kerana inilah warisan yang ditinggalkan moyang kepada kita,” katanya.

Namun di sebalik semangat itu, Ceelcia mengakui ada pengalaman hidup yang membuatkan dirinya sangat percaya bahawa setiap manusia mempunyai perjalanan yang sudah ditentukan Tuhan.

“Tipulah kalau kita cakap kita tidak pernah berada di titik paling rendah dalam hidup, dan begitu juga saya.

“Saya kehilangan adik ketika berusia 18 tahun. Waktu itu saya rasa seperti kehilangan arah masa depan, tapi Tuhan maha adil. Tuhan tidak pernah meninggalkan saya dan keluarga,” katanya.

Sejak itu, satu ayat sentiasa dipegang Ceelcia sehingga hari ini, “Kalau Tuhan sudah bagi koma dalam hidup kita, siapa kita untuk meletakkan noktah.”

Ceelcia berkata, kemenangan dalam Unduk Ngadau Kaamatan tahun ini juga membawa makna yang sangat peribadi buat dirinya.

“Sebenarnya kemenangan ini saya persembahkan untuk adik saya,” katanya.

Sebagai pelajar universiti, Ceelcia mengakui tidak mudah membahagikan masa antara pelajaran, pertandingan dan kehidupan peribadi. Katanya, banyak perkara terpaksa dikorbankan termasuk masa belajar, masa bersama rakan, dan masa untuk dirinya sendiri.

“Tapi semua itu tidak pernah memudarkan semangat saya, malah membuatkan saya lebih kuat untuk terus berusaha,” katanya.

Baginya, Unduk Ngadau Kaamatan bukan sekadar pertandingan kecantikan, tetapi simbol warisan, pengorbanan dan identiti budaya masyarakat KDMR.

“Saya mahu buktikan bahawa generasi muda sekarang masih tahu adat dan budaya KDMR,” katanya.

Ketika namanya diumumkan sebagai juara malam itu, keluarga Ceelcia tidak dapat berada di dewan pertandingan. Namun perkara pertama yang dilakukannya selepas itu ialah menghubungi mereka.

“Saya beritahu mereka, ‘Ama, apa, I did it’.

“Apa pun cabarannya, dengan usaha saya, saya tidak akan berhenti sampai di sini kerana masa saya masih panjang. Saya mahu pergi ke KDCA. Pohonkan doa kamu semua,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal