KOTA KINABALU: 3 Februari 2026 – Kontinjen Sabah mengesahkan dominasi mereka apabila dinobatkan sebagai juara keseluruhan Kejohanan Bintulu Amateur Muaythai Challenge Edisi Ke-4 (BAMC Vol.4) selepas meraih 11 pingat emas pada kejohanan yang berlangsung dari 30 hingga 31 Januari 2026 di Paragon, Naim Street Mall.
Kejayaan itu disumbangkan menerusi gabungan kukuh atlet junior dan senior, mencerminkan keberkesanan sistem pembangunan muaythai negeri. Enam pingat emas dari atlet junior hasil Program Pembangunan Junior Persatuan Muaythai Sandakan (PMS), manakala lima lagi disumbangkan oleh atlet senior dalam program persediaan Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.
Enam juara atlet junior ialah Muhammad Syuqhrieyyan Syah Abdullah (45–48kg), Dheafathonah Syafiee Yusin (30–31kg), Muhammad Amin Syah Andre Narul Haizad (38–41kg), Muhammad Rayyan Raffiq Bahruddin (51–54kg), Fadzli Abdul (54–57kg) dan Sharif Ryan Iskandar Omar (48–51kg).
Ketua jurulatih Sabah, Cyrille Dhillon Tahing, berkata kejohanan ini menjadi penanda aras penting buat pasukan.
“BAMC Vol.4 membantu kami menilai tahap atlet junior dan juga skuad SUKMA. Keputusan ini positif, namun penambahbaikan tetap diperlukan,” katanya.
Dalam kategori senior, lima pingat emas disumbangkan oleh Mohammad Khairul (67kg Terbuka), Nur Iman Madley (51kg Terbuka), Kerry Dryan Jafili (71kg Terbuka), Sammy Yong Feng Yue (45kg Terbuka Wanita) dan Mohd Izack Devid (57kg Terbuka).
Presiden Persatuan Muaythai Sandakan, Mohd Ajman Ajmain, menyifatkan kejayaan atlet muda itu sebagai hasil fokus berterusan terhadap pembangunan asas.
“Kejayaan enam emas junior membuktikan program pembangunan kami berada di landasan yang tepat dan menyumbang secara langsung kepada kejayaan Sabah,” jelasnya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Muaythai Negeri Sabah (PMNS), Ir. Hj. Nazri Ab Razak, berkata pencapaian keseluruhan di Bintulu mencerminkan kekuatan rantaian bakat muaythai negeri Sabah, bermula dari pembangunan peringkat junior hingga ke persediaan menghadapi SUKMA 2026.
Tambahnya lagi, PMNS akan terus memberi sokongan kepada pelaksanaan program yang tersusun dan berstruktur bagi memastikan Sabah kekal kompetitif serta berupaya bersaing di peringkat tertinggi.
Selain pasukan utama negeri, DSHA Muayfit Club Tawau turut menyumbang tiga pingat emas kategori junior menerusi Mohammad Faliq Herlis, Harith Dazzel Hari Irwan dan Derylino Dedy, sekali gus melengkapkan kejayaan besar Sabah di BAMC Vol.4.
