KOTA KINABALU: 28 Mei 2026 – Sepuluh peserta terbaik dari dua kategori busana yang dipertandingkan semasa acara Sodop Pintutunan Unduk Ngadau (UN) 2026 di Hotel Hilton berjaya mara ke penilaian akhir Sodop Unduk Ngadau yang berlangsung di Dewan Hongkod Koisaan KDCA, hari ini.U
ntuk pertama kalinya pada tahun ini, kategori busana dalam pertandingan tersebut dibahagi kepada dua kategori, iaitu Basaan Tinaandai Togingo dan Basaan Tinunturu om Linongkitan Notinagas, berbanding hanya satu kategori pada tahun-tahun sebelumnya.
Sodop Pintutunan merupakan salah satu aktiviti rasmi dalam pertandingan Unduk Ngadau yang menyaksikan setiap peserta menerima selempang rasmi negeri mengikut daerah masing-masing. Selempang ini menggantikan selempang yang diterima semasa pengumuman juara di peringkat daerah. Selempang rasmi tersebut wajib dipakai sepanjang minggu Unduk Ngadau sehingga hari kemuncak pertandingan akhir pada 31 Mei nanti.
Lima Terbaik Kategori Basaan Tinaandai Togingo ialah wakil dari Pulau Banggi, Tuaran, Kuala Penyu, Papar, dan Telupid.

Lima Terbaik Kategori Basaan Linongkitan om Tinunturu Notinagas ialah wakil dari Tanjung Aru, Bandaraya Kota Kinabalu, Tamparuli, Ranau, dan Kiulu.

Kesemua busana yang dipertontonkan dalam pertandingan itu merupakan hasil rekaan pereka tempatan yang menampilkan kreativiti dan keunikan identiti budaya Sabah.
Timbalan Ketua Menteri I Sabah merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam, berkata platform Unduk Ngadau mampu menjadi medan terbaik untuk mengetengahkan bakat pereka tempatan sehingga ke peringkat antarabangsa menerusi karya busana yang dihasilkan.
“Kreativiti yang dipamerkan bukan sahaja memperlihatkan nilai seni dan warisan budaya, malah membuka ruang lebih luas kepada industri fesyen etnik Sabah untuk berkembang,” katanya.
Seramai 53 peserta Unduk Ngadau mengambil bahagian pada tahun ini, termasuk penyertaan pertama dari Daerah Kecil Sukau yang turut mencatat sejarah tersendiri dalam penganjuran Unduk Ngadau 2026.
