Oleh: Zaidul Khair bin Jungkim
TAWAU: Tiga lelaki warga asing ditahan dalam Op Tapis selepas polis menemukan satu paket plastik disyaki mengandungi dadah jenis syabu di kawasan Batu 18, Jalan Apas, kelmarin.
Sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), IPD Tawau menahan ketiga-tiga suspek kira-kira jam 12 tengah hari ketika menjalankan operasi di kawasan itu.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Rosdi bin Mat Jusoh berkata, pemeriksaan lanjut berhampiran lokasi penahanan menemukan satu paket plastik lutsinar berisi hablur jernih disyaki syabu seberat 0.15 gram.
“Pemeriksaan tubuh badan tidak menemukan barang salah. Ujian saringan awal air kencing mendapati dua suspek positif amphetamine dan methamphetamine, seorang lagi negatif,” katanya.
Semakan polis mendapati ketiga-tiga suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Tiga lelaki warga asing itu kini ditahan untuk siasatan lanjut. Penemuan dadah di kawasan penempatan buruh itu menjadi peringatan kepada penduduk setempat supaya terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membanteras kegiatan dadah di kawasan mereka.
Sumber: Polis Daerah Tawau
