PAPAR: 1 Mei 2026 – Suasana sambutan pelancaran Pesta Kaamatan peringkat negeri di Papar terus berlangsung meriah dengan kehadiran orang ramai dari pelbagai daerah, malah jumlah pengunjung dilihat semakin meningkat berbanding hari pertama acara berlangsung.
Tinjauan mendapati kawasan sekitar lokasi sambutan dipenuhi pengunjung seawal pagi, dengan kesesakan lalu lintas dan kesukaran mendapatkan tempat letak kereta mencerminkan sambutan luar biasa terhadap perayaan tahunan tersebut.
Beberapa pengunjung yang ditemui meluahkan keterujaan mereka, khususnya mereka yang pertama kali menjejakkan kaki ke Papar untuk menghadiri Kaamatan.

Christy dan Joy, yang masing-masing berasal dari Tambunan dan Telipok, menyatakan kunjungan mereka ke Papar kali ini adalah pengalaman pertama.
“Kami memang terkejut melihat jumlah orang yang begitu ramai, dari pintu masuk hingga ke dalam dewan sudah sesak. Dan hari ini kami datang di papar untuk menyokong kawan kami yang bertanding Unduk Ngadau,” kata mereka.

Sementara itu, sekumpulan pengunjung dari Kampung Kogopon turut berkongsi keterujaan menyaksikan acara yang dinanti-nantikan. Mereka menyatakan sokongan kepada beberapa peserta Unduk Ngadau dan berharap wakil Papar mampu mengharumkan nama daerah ke peringkat lebih tinggi.
“Kami ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada semua finalis. Siapa sahaja yang menang, kami tetap bangga,” ujar salah seorang daripada mereka.

Menurut Lorna, kehadiran orang ramai yang melebihi jangkaan menjadi antara perkara paling menarik pada tahun ini. Beliau turut menyatakan Unduk Ngadau sebagai acara utama yang dinanti-nantikan, sambil berharap semua peserta dapat memberikan persembahan terbaik.

Osmond dari Penampang yang pertama kali menghadiri Kaamatan di Papar menyifatkan pengalaman tersebut sebagai sesuatu yang luar biasa dan keterujaannya tidak terhenti di Papar sahaja, malah sudah tidak sabar untuk menyaksikan kemuncak sambutan di KDCA pada 31 Mei nanti.
“Saya memang tertunggu-tunggu sudah untuk pergi tengok sambutan kemuncak Kaamatan di KDCA nanti, terutama sekali pertandingan akhir Unduk Ngadau. Suasana di sini pun sudah meriah, apa lagi di sana nanti, pasti lagi meriah,” katanya penuh semangat.
Sambil menunjukkan suasana sekeliling, Osmond berkata, “Saya nampak banyak produk tempatan dipamerkan dan dijual. Ini menunjukkan budaya dan ekonomi komuniti turut berkembang bersama dengan sambutan Kaamatan.”
Secara keseluruhan, sambutan Kaamatan peringkat negeri di Papar bukan sahaja menjadi platform memartabatkan warisan budaya, malah mengukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai latar belakang yang hadir meraikan perayaan tersebut.
