KOTA KINABALU: Kos cermin mata sering menjadi beban kepada golongan B40, dan ada yang terpaksa menangguhkannya demi keperluan lain. Keadaan itu menarik perhatian jenama optik tempatan Robert.T 1994 Optical untuk menyumbang 3,814 bingkai cermin mata percuma dalam tempoh setahun, sekali gus melayakkan syarikat itu menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR).
Sumbangan itu membawa kepada pengiktirafan kategori “Most Spectacles Frames Distributed in a Year” yang diserahkan Pengurus Pensijilan MBOR, Siti Hajar binti Johor, semasa acara See Big Win Big: Mega Lucky Draw 2026 di Suria Sabah Shopping Mall.

Pengarahnya, Dr. Robert Tang Guo Sun, berkata program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu memastikan kekurangan wang tidak menghalang golongan memerlukan mendapat penjagaan mata yang baik.
“Kami amat bersyukur dan berbangga menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records. Pencapaian ini merupakan hasil usaha seluruh pasukan Robert.T 1994 Optical serta sokongan dan kepercayaan pelanggan selama ini,” katanya.
Beliau turut berterima kasih kepada isterinya yang juga Pengarah Urusan, Hwang Chyi Chyi, seluruh kakitangan dan rakan niaga sejak syarikat ditubuhkan pada 2020.
Bantuan cermin mata percuma itu bermula di sekitar Sabah termasuk di Tawau dan Festival Bon Odori (SICC), sebelum dibawa ke Kuching dan Bintulu, Sarawak.
Usaha itu belum berhenti. Robert.T 1994 Optical menyasarkan sumbangan 5,000 pasang cermin mata percuma kepada B40 pada 2027, dan merancang memberi pemeriksaan mata percuma untuk pelajar sekolah di Sabah, Sarawak dan Brunei.
Kini syarikat itu memiliki 49 cawangan di Sabah (33), Sarawak (10), Brunei (4) dan Labuan (2). Cawangan ke-50 akan dibuka di SS15, Subang Jaya, Selangor pada Disember 2026 sebagai langkah pertama di Semenanjung Malaysia.
Sementara itu, acara Mega Lucky Draw 2026 yang berlangsung dari 25 hingga 29 November menerima kira-kira 30,000 penyertaan pelanggan dari seluruh Borneo. Acara ini akan dijadikan acara tahunan.
