‘MJ’ dalang sindiket pemalsuan dokumen imigresen tumpas

672682828 1265739882404301 3581405434140039082 n

KUALA LUMPUR: 15 April 2026-Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan sindiket pemalsuan dokumen melibatkan pekerja warga asing dengan penahanan dalang utama dikenali sebagai ‘MJ’ menerusi Ops Serkap, Isnin lalu.

Operasi khas itu dijalankan hasil risikan selama enam bulan membabitkan serbuan di enam lokasi berasingan.

Seramai sembilan individu berusia 26 hingga 61 tahun ditahan dalam serbuan awal, melibatkan tiga lelaki warga Nepal, tiga lelaki warga India, seorang lelaki warga Bangladesh, seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warga Vietnam yang dipercayai bertindak sebagai pengarah syarikat.

Susulan maklumat diperoleh, sepasukan pegawai kemudian menahan suspek utama pada awal pagi Selasa selepas memintas sebuah Nissan Sentra di Jalan Galloway, di sini, ketika dipercayai cuba melarikan diri.

Suspek dikenali sebagai Mahendra Jung Shah @ MJ, lelaki warga Nepal berusia 43 tahun.

Hasil serbuan, pihak berkuasa merampas 111 pasport pelbagai negara, 10 komputer riba, enam telefon bimbit dan wang tunai RM3,950.

Siasatan awal mendapati sindiket itu dipercayai beroperasi sejak tujuh tahun lalu dengan anggaran keuntungan mencecah RM100 juta.

Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Akta Pasport 1966 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

JIM memaklumkan akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi melengkapkan siasatan dan mengambil tindakan tegas terhadap semua pihak terlibat.

Sumber: Jabatan Imigresen Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal