Kehadiran PM Anwar penuh makna, tuntutan 40 peratus harap dipercepatkan

IMG 20260530 WA0072

PENAMPANG: 30 Mei 2026 – Sambutan Pesta Kaamatan peringkat Negeri Sabah tahun 2026 meriah hari ini dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai tetamu kehormat untuk merasmikan perayaan di Hongkod Koisaan, Penampang.

Timbalan Ketua Menteri Sabah I merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Pesta Kaamatan, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam, dalam ucapannya menekankan bahawa kehadiran Perdana Menteri bukan sahaja bernilai tetapi cukup bermakna buat seluruh rakyat Sabah.

“Saya katakan cukup bernilai kerana ia menggambarkan Pesta Kaamatan ini bukan sahaja menjadi perayaan yang diraikan oleh pelbagai kaum dan rakyat kita di Sabah, malah hari ini semakin berkembang sehingga ke seluruh negara dan paling istimewa disertai dan diiktiraf oleh pemimpin nombor satu negara iaitu Perdana Menteri Malaysia sendiri,” ujar Joachim.

Beliau turut merakamkan penghargaan atas komitmen konsisten Anwar yang tidak pernah gagal bersama-sama rakyat Sabah dalam setiap sambutan Kaamatan sejak memimpin negara.

1003077759
YAB Datuk Seri Anwar bin Ibrahim hadir ke Majlis Perasmian Pesta Kaamatan Peringkat Negeri kali ke-66

“Hakikatnya kebersamaan ini tidak bermusim tetapi konsisten. Walaupun berhadapan kekangan jadual, beliau tetap hadir menyeberangi Laut China Selatan untuk bersama-sama kita,” tegasnya.

Tema Kaamatan tahun ini ialah “Kaamatan: Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian” yang membawa maksud memperkukuh perpaduan tanpa mengira latar belakang, kepercayaan, kaum dan budaya.

Pelbagai acara telah dan akan berlangsung termasuk pertandingan Unduk Ngadau, Rumah Terbuka di Koisaan Cultural Village, Sukan Tradisi, dan persembahan kebudayaan pelbagai etnik.

Dalam ucapannya, Joachim turut menyuarakan harapan rakyat Sabah, “Mudah-mudahan tuntutan 40 peratus yang dinantikan oleh seluruh rakyat Sabah dapat dipercepatkan,” pintanya.

Beliau juga memohon Perdana Menteri merealisasikan pembinaan sebuah university college di Tambunan, memandangkan tapak telah disediakan Kerajaan Negeri dan upacara pecah tanah pernah dilakukan sebelum ini.

Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan RM5.9 juta bagi penganjuran Pesta Kaamatan peringkat negeri dan daerah, manakala Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyumbang RM1 juta.

Joachim mengakhiri ucapan dengan ucapan “Kotobian om kounsikahan tadau tagayo do Kaamatan” dan berharap perayaan ini terus memupuk perpaduan dan keharmonian untuk generasi akan datang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal