foto oleh David E.
KOTA KINABALU: 29 Mei 2026 – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bayaran interim sebanyak RM1.5 bilion untuk Sabah, meningkat secara mendadak berbanding RM600 juta sebelum ini, sebagai langkah sementara sementara rundingan tuntutan hak 40 peratus hasil bersih Sabah dimuktamadkan.
Pengumuman itu dibuat ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Kaamatan Peringkat Negeri Sabah di Penampang.
“Hari ini saya umumkan interim ini meningkat kepada RM1.5 bilion,” tegas Anwar.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menuai padi simbolik Pesta Kaamatan bersama Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor, Huguan Siou Tan Sri Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam dan Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan– Foto oleh David E.
Beliau menegaskan bahawa pemberian tersebut bukan pengganti kepada tuntutan hak 40 peratus, sebaliknya langkah sementara untuk memastikan Sabah menerima manfaat segera.
“Saya tidak mahu dianggap sengaja melengah-lengahkan perkara ini. Soal 40 peratus itu, jangan dipertikai komitmen kerajaan untuk melaksanakannya. Yang sedang dibincangkan ialah kaedah dan mekanisme pelaksanaannya,” ujarnya.
Menurut Perdana Menteri, perbincangan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri kini berada pada peringkat akhir dan dijangka diselesaikan dalam beberapa bulan sebelum dibawa ke Jawatankuasa Kewangan dan Kabinet.
Beliau turut menjelaskan bahawa kerajaan terpaksa melaksanakan pelbagai langkah penjimatan demi membolehkan lebih banyak dana disalurkan kepada keperluan rakyat, namun sektor pendidikan, kesihatan dan pembangunan infrastruktur asas tidak akan terjejas.
