Oleh: Zaidul Khair bin Jungkim
(Gambar Ilustrasi)
KOTA KINABALU: 8 Ogos 2026 – Seorang wanita berusia 57 tahun ditemui maut di kawasan parkir Tower A, One Borneo, Kota Kinabalu, semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Shahrudin Mat Husain berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mayat mangsa kira-kira jam 6 pagi sebelum sepasukan pegawai dan anggota polis bersama Pasukan Forensik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Sabah bergegas ke lokasi. Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terjatuh dari sebuah unit kediaman di tingkat 12 bangunan berkenaan.
Pemeriksaan di lokasi kejadian juga tidak menemukan sebarang unsur jenayah. Siasatan telah dijalankan untuk melengkapkan maklumat berkaitan kejadian berkenaan.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth 1. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Polis turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan gambar serta video kejadian yang boleh mengganggu siasatan dan menjejaskan privasi keluarga mangsa.
Sumber: IPD Kota Kinabalu

